PAMUNGKAS
PAMUNGKAS
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Indonesia, Pamungkas yang pernah terpalit dengan kontroversi ketika membuat persembahan pentas menganggap apa yang dilalui sebagai proses pembelajaran dan sebahagian daripada perjalanan kerjaya seninya.

Aksi spontan menggosok telefon bimbit milik peminat pada bahagian kemaluannya, Pamungkas atau pemilik nama penuh Rizki Rahmahadian Pamungkas menjadikan insiden itu sebagai iktibar dan memikul tanggungjawab sebagai anak seni.

"Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kerjaya saya dan banyak yang saya belajar daripada apa yang berlaku. Sebagai penyanyi atau sebagai individu sendiri, saya memilih untuk jalan terus ke hadapan.

"Saya ingin menjadi seperti roda, jadi jika ingin terus berjalan kita perlu ada keberanian melakukan kesilapan dan kita belajar dari kesalahan itu sendiri. Menerusi pembelajaran itu, banyak yang memberi perhatian dan memerhatikan.

"Selepas pandemik, dunia digital menjadi lebih meluas dan semuanya tersebar sekelip mata. Dan saya belajar mengenai tanggungjawab apabila ada yang menjadikan saya sebagai idola dan contoh," katanya ketika sidang media sempena Konsert Nusa Fest yang berlangsung di Zepp, di sini, malam tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu To The Bones itu adalah artis pertama yang membuka tirai siri Nusa Fest yang menghimpunkan pemuzik dan penyanyi solo hebat Malaysia, Singapura dan Indonesia anjuran Shiraz Projects.

Lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk, Pamungkas enggan menjadi kontroversi berkenaan sebagai penghalang untuk terus berkarya dan menghasilkan yang terbaik buat peminat.

"Saya sentiasa beritahu diri sendiri perlu menjadi seperti anak kecil ketika berkarya dan tidak terikat kerana disitulah idea akan mencurah-curah.

"Sebagai manusia, apabila menerima pujian pastinya kita malu untuk menerimanya. Apatah lagi apabila ramai yang memberikan kata-kata positif dan memberikan pujian. Jadi, bukan mudah sebenarnya buat saya untuk berhadapan situasi begini.

"Salah satu perkara yang saya perlu terima ketika ini adalah bagaimana untuk berhadapan dengan populariti dan bersikap terbuka dengan tanggungjawab disebalik status sebagai selebriti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 3:48 PM