ANGGOTA Jihad Islam Palestin berarak memperingati kematian pemimpin mereka, Ramadan Shalah di Bandar Gaza pada8Jun lalu. - AFP
ANGGOTA Jihad Islam Palestin berarak memperingati kematian pemimpin mereka, Ramadan Shalah di Bandar Gaza pada8Jun lalu. - AFP
Bersama Nadir Al-Nuri

KELMARIN 10 Jun 2020 rakyat Malaysia ceria kerana terlepas daripada 'kurungan' wabak Covid-19 selain dibenarkan bergerak merentas negeri serta pulang ke kampung masing-masing.

Media sosial dipenuhi wajah gembira dan perancangan bertemu ibu dan ayah selepas sambutan Aidilfitri baru-baru ini dilalui dengan hambar berikutan kekangan pergerakan.

Dalam kegembiraan, kita ada tanggungjawab untuk merasai kesakitan bangsa yang lebih 72 tahun tidak dibenarkan pulang ke kampung asal mereka.

Pada 1948 berlaku peristiwa Nakbah, kumpulan mafia Zionis menyerang perkampungan asal penduduk Palestin sehingga menyebabkan pemilik terpaksa berhijrah sehelai sepinggang ke kawasan lebih selamat.

Detik itu menandakan hampir 800,000 penduduk terbuang tanpa mengetahui bahawa 72 tahun akan datang mereka masih hidup dalam buangan. Zionis ketika itu menggunakan pelbagai cara untuk memaksa penduduk keluar termasuk mengepung kampung dari tiga arah dan meninggalkan laluan untuk penduduk lari keluar, melakukan pembunuhan besar-besaran ke atas kanak-kanak, wanita dan orang tua serta mengebom rumah penduduk.

Antara jenayah terbesar dilakukan ialah pembunuhan besar-besaran Deir Yassin yang mengorbankan 250 orang, pembunuhan Al-Tantura yang mengorbankan 230 orang dan pembunuhan Khan Yunus yang membunuh 270 orang.

Seorang wanita yang melalui pengalaman perit itu adalah Um Abdullah ketika ditemu ramah laman akhbar antarabangsa Tasnim menceritakan bahawa beliau tidak berada di rumah ketika pembunuhan bermula.

Dia berlari pulang apabila mendengar berita kedatangan penjajah dan mendapati suami dan anak-anaknya yang sudah mati dalam lautan darah. Sebahagian anak yang masih hidup dan menjerit ketakutan didokong untuk dibawa berlindung ke rumah ayahnya.

Malang, ayah dan adik-beradik beliau juga ditemui terbaring kaku.

Rumah yang dikosongkan itu kemudian diambil alih oleh pendatang haram Yahudi selepas mengisytiharkan bahawa ia tidak berpenghuni melalui undang-undang Absentee's Property Law 1950.

Jumlah penduduk Yahudi di Palestin pra-Nakbah tidak mencecah 10 peratus daripada penduduk pun, walaupun 'jemputan rasmi' pertama untuk mereka berhijrah ke sana dibuat oleh Napolean Bonaparte yang merampas Palestin dari Mesir seawal 1799.

Tetapi, niat entiti Zionis untuk mengambil tanah Palestin sebagai milik mereka dengan cara menguasai majoriti demografi setempat, selain dengan cara kekerasan jelas melalui kata-kata tokoh Zionisme Dr Chaim Weizmann: 'to make Palestine as Jewish as England is English and America is American.'

Strategi mereka berjaya apabila menjelang 1928 populasi mereka meningkat kepada 16 peratus dan di penghujung 1948 mereka menguasai 60 peratus daripada tanah yang asalnya 'diberikan' kepada Palestin. Tiga tahun selepas itu, jumlah pendatang Yahudi ke Palestin mencecah 700,000 orang.

Penghijrahan besar-besaran kedua pula berlaku pada 1967 selepas Perang Enam Hari apabila Zionis melalui langkah genius mengebom angkatan udara Mesir, Jordan dan Syria sebelum sempat perang meletus pada 5 Jun.

Dalam perang terbabit, Zionis merampas Sinai daripada Mesir, Bukit Golan daripada Syria dan Tebing Barat serta Gaza daripada Palestin. Sejumlah 330,000 orang penduduk lagi diusir meninggalkan kampung mereka.

Isu penduduk Palestin tidak dibenarkan balik kampung ini atau dalam bahasa rasmi disebut sebagai Hak Pelarian Palestin Untuk Pulang atau the Refugees Right of Return adalah isu yang sangat panjang dibincangkan dalam cubaan menyelesaikan isu Palestin.

Dukacitanya sikap Zionis yang tidak mahu hak tersebut diberikan sangat jelas kerana ia akan mengubah semula demografi penduduk di bumi yang dijajah. Dalam dokumen akhir yang dikeluarkan negara penjajah itu, The Deal Of The Century, Zionis dengan jelas menyebutkan pelarian Palestin adalah tanggungjawab negara Islam dan mereka wajar diserap sebagai penduduk sebagaimana 'negara Israel' menyerap masuk pelarian Yahudi.

Ditambah pula, isu rampasan saki-baki tanah Palestin yang ada mutakhir ini dalam tempoh beberapa tahun bukan saja pelarian Palestin tidak punya hak untuk balik kampung, malah mereka tidak akan punya kampung lagi.


Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 6:00 AM