FALISHA terharu mendapat sokongan daripada kelab peminatnya di Kuching, Sarawak.
FALISHA terharu mendapat sokongan daripada kelab peminatnya di Kuching, Sarawak.
BERSAMA peminat menyaksi kan tayangan filem Mat Moto pada hari pertama.
BERSAMA peminat menyaksi kan tayangan filem Mat Moto pada hari pertama.
FALISHA turunkan berat badan.
FALISHA turunkan berat badan.
Syanty Octavia Amry


Pelakon filem Mat Moto, Falisha Crossley, 31, menyifatkan keputusan memotong pendek rambutnya berbaloi apabila karya terbabit mencatat kutipan di luar jangkaan.

Dia yang menyimpan rambut panjang lebih 15 tahun lalu tidak menduga ada kemanisan menanti di sebalik pengorbanan itu.

Menerusi filem pertamanya itu, Falisha memegang watak sebagai gadis punk yang menuntutnya memotong rambut serta berdiet untuk kelihatan lebih kurus.

“Ini filem pertama saya. Banyak kajian saya lakukan bagi memastikan karakter sebagai budak punk menjadi.

“Saya akui berat hati potong rambut. Maklumlah saya tidak pernah berambut pendek sejak di sekolah menengah.

“Apabila ramai terkejut melihat saya berambut pendek, saya menangis.

“Selain bediet saya rajin ke gim bagi menurunkan berat badan. Alhamdulillah, dalam masa dua minggu saya berjaya kurangkan lima kilogram,” katanya.

Selain menjayakan sesi promosi yang diatur penerbit, Falisha bersama ahli kelab peminatnya turut menganjurkan acara sama di tempat kelahirannya di Kuching, Sarawak.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan malah ahli kelab peminatnya berkonvoi menaiki motosikal sebelum menyaksikan filem terbabit.

“Saya teruja melihat sokongan tidak berbelah bahagi ahli kelab peminat saya. Mereka bersungguh-sungguh mempromosikan filem ini.

“Saya berharap filem ini terus mendapat sambutan dan ditonton orang ramai khususnya pencinta motosikal,” katanya.

Selain sibuk dengan rangka promosi, Falisha terbabit dengan penggambaran drama 20 episod berjudul Bimbo yang turut dibintangi Shaheizy Sam dan Nadiya Nisaa.

“Syukur, selepas Mat Moto saya menjayakan drama ini pula.

“Ada beberapa lagi tawaran, tetapi terpaksa saya tolak kerana tarikh penggambaran bertindih dengan perancangan mengerjakan umrah. Insya-Allah, saya dan keluarga akan berangkat ke Tanah Suci Makkah pada 28 Januari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:27 AM