NABILA, Kamal dan Saleha bergandingan dalam siri Black.
NABILA, Kamal dan Saleha bergandingan dalam siri Black.
Ardini Sophia Sina

DIADUN semula mengikut budaya tempatan, siri Black adaptasi daripada karya Korea Selatan dengan judul sama bakal menemui peminat drama menerusi platform penstriman Viu bermula 17 Disember depan.

Mengisahkan seorang bunian diarahkan memburu rakannya yang melarikan ke alam manusia, siri itu diterajui Kamal Adli, Siti Saleha dan Nabila Huda yang masing-masing memegang watak sebagai Black, Sofia serta Aisya.

Sering peminat melihat Kamal membawakan watak ‘abang romantik’, namun menerusi Black, pelakon itu tampil berbeza apabila membawakan dua karakter.

“Saya membawakan watak Malik, detektif yang banyak kelemahan. Kalau tengok mayat pun dia akan muntah. Ada satu kejadian dia ditembak di kepala dan terlantar di hospital, ketika itulah Black masuk dalam badan.

“Apabila Black masuk dalam badan, sikap Malik berubah. Cabaran utama saya adalah untuk menunjukkan perbezaan ketara antara Malik dan Black. Kalau Malik sedikit lurus, Black pula angkuh,” kata Kamal.

Kata Kamal, sebaik menerima tawaran itu, dia berusaha menurunkan berat badan dalam tempoh dua bulan demi memenuhi tuntutan watak.

Sarat dengan babak aksi, hampir 90 peratus babak bertarung dilakukan sendiri tanpa menggunakan bantuan pelakon lagak ngeri. Malah, kecederaan yang dialami tidak mengganggu fokus lakonannya.

“Saya memang suka berlakon dalam cerita aksi. Kalau rasa boleh buat, saya akan buat dan tidak kisah badan di humban atas meja hingga meja itu pecah. Walaupun sakit, saya puas dapat buat sendiri.

“Babak terjun dari bangunan pun saya buat sendiri. Saya terjun dari bumbung bangunan Sultan Abdul Samad lima kali. Walaupun dipakaikan tali keselamatan, perasaan gerun itu masih ada,” katanya.

Sementara itu, bagi Saleha pula, siri Black adalah drama Korea pertama ditontonnya. Dia cukup tertarik dengan watak lakonannya yang mempunyai kebolehan melihat cara kematian seseorang.

“Saya bukanlah penggemar cerita Korea, tetapi sebab berlakon dalam drama adaptasi ini, saya tonton hingga episod akhir untuk faham karakter. Saya suka watak ini sebab rasa macam adiwira apabila ada kelebihan yang orang lain tidak ada.

“Apa yang menarik, perjalanan cerita ini yang membabitkan dunia lain iaitu alam bunian. Sesuatu yang jarang-jarang kita tonton di Malaysia. Saya rasa penonton akan suka dengan kisah seperti ini,” katanya.

Walaupun menonton drama versi Korea, Saleha tetap menggunakan cara tersendiri melakonkan semula watak Sofia. Dia tidak mahu terlalu terikat dengan karakter Kang Ha Ram dalam siri asal.

“Saya boleh katakan ini antara karakter yang saya suka kerana belum pernah bawa watak seperti ini. Saya semangat bercerita mengenai watak Sofia kerana ia lain daripada apa yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Saya juga gembira dapat berlakon dengan Nabila kerana sudah lama teringin berganding dengan dia dalam drama mahupun filem. Akhirnya sudah tercapai,” katanya.

Bagi Nabila pula, mungkin watak sebagai doktor tidak terlalu mencabar dan kelihatan biasa, namun di sebalik karakter itu tersimpan emosi yang hanya diketahui pada penghujung episod.

“Cabaran fizikal memang tidak ada. Saya tidak terbabit dengan mana-mana babak aksi, tetapi emosi Aisya itu sendiri agak berat kerana dia ada kisah silam yang dia simpan. Beban yang dia tanggung kerana takut kisah itu bocor adalah sesuatu yang agak mencabar untuk dilakonkan.

“Aisya juga ada banyak babak sedih dan sebak sebab tunangnya tidak mengingatinya selepas cedera. Bagaimanapun, Aisya tetap bersabar dan memujuk hati bahawa keadaan itu hanya sementara,” katanya.

Turut menonton drama berkenaan sebagai rujukan, Nabila bagaimanapun enggan terlalu terikat kerana corak lakonan pelakon Korea dengan Malaysia kerana jauh berbeza.

“Saya tonton untuk faham emosi dan jalan cerita. Selepas itu, saya bentuk dan kembangkan sendiri watak Aisya. Sebagai pelakon, menjadi tugas saya untuk reka sendiri watak itu.

“Cara pelakon Korea menzahirkan emosi tidak sama seperti pelakon Malaysia. Buat apa mahu ikut, nama pun adaptasi. Kita lakonkan dengan cara kita sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:10 AM