Elyana padam komen negatif di Instagram. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Elyana padam komen negatif di Instagram. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Elyana, 31, mengejutkan netizen apabila memuat naik Instagram Stories luahan rasa marahnya kepada mereka yang tidak menghormatinya dan sering memberi nasihat dalam bentuk sindiran di ruangan komen laman sosialnya itu.

Muat naik pada Instagram Stories. Boxy Instagram Elyana
Muat naik pada Instagram Stories. Boxy Instagram Elyana

“Itu adalah tindak balas manusia normal seperti saya. Pada saya, walaupun antara artis dan peminat, perlu wujud rasa hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Diriku Tapak Sulaiman itu lagi, dia tidak menolak nasihat mengenai taubat dan aurat diberikan oleh netizen tetapi biarlah ia mengikut cara yang sepatutnya.

“Saya terima nasihat-nasihat positif daripada netizen tetapi membuatkan saya marah adalah apabila ada yang mula bersikap kurang ajar.

“Ada juga pada awalnya menulis komen nasihat tapi diselitkan dengan sindiran serta menjurus ingin mengaibkan saya,” katanya.

Elyana yang menghidap kanser limfoma tahap empat berkata, komen-komen sebegitu seperti membuka ruang untuk orang lain menambah cerita sekaligus mencipta aura negatif kepada dirinya.

“Saya seorang yang positif. Tapi, sebagai manusia, ada harinya kita akan alami hari yang teruk dan marah. Jadi, saya tak mahu aura negatif daripada komen itu memberi impak kepada saya,” katanya.

Elyana bagaimanapun enggan menutup ruangan komen di Instagramnya sebaliknya hanya memadam komen-komen negatif.

“Saya padam komen-komen negatif dan membiarkan komen positif yang membina. Kalau bergaduh dengan netizen sama seperti bercakap dengan dinding kerana tak akan ada hasilnya,” katanya.

Elyana juga memohon kepada netizen supaya menghormatinya yang kini sudah berkeluarga.

“Saya ada suami dan anak. Sekiranya ingin meninggalkan komen yang tak sepatutnya, rasanya lebih baik anda fikirkan terlebih dahulu. Hormat suami dan anak saya,” katanya.

Dalam tiga muat naik Instagram Stories yang dikongsi di Instagramnya, Elyana nampak marah dan menggelar netizen yang tidak bertanggungjawab itu sebagai binatang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 6:33 PM