SHILA Amzah bersama anak sulungnya, Seth Uwais.
SHILA Amzah bersama anak sulungnya, Seth Uwais.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shila Amzah reda, berlapang dada dan positif apabila anak sulungnya, Seth Uwais, 5, didiagnosis menghidap autisme tahap satu.

Shila dalam hantaran video di Instagram ketika baru pulang dari hospital hari ini berkata, dia sudah lama merasakan ada sesuatu dengan Seth sama ada dia autisme atau Gangguan Perhatian Defisit Hiperaktif (ADHD).

"Seth didiagnosis mengalami autisme tahap satu. Doakan untuk Seth dan keluarga kami." katanya.

Seth adalah anak daripada perkahwinan Shila dengan Haris Edraki pada 2018, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 2022.

Shila kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Ubai pada 5 Ogos tahun lalu.

Mereka baru saja dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei lalu.

Reda dengan ketentuan Ilahi, Shila bersyukur dan lega apabila dapat merawat anaknya yang mengalami sindrom itu pada usianya sekarang.

"Doktor sarankan untuk Seth menjalani terapi dan dihantar ke sekolah kanak-kanak autism. Jadi bila dah sah, senang kita nak tahu apa yang boleh buat dan tidak. Doakan supaya Seth boleh membesar dan belajar dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:24 PM