Shila Amzah bersama Ubai
Shila Amzah bersama Ubai
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Kurang senang dengan gabungan tanda pagar #ShiBai yang digunakan segelintir pihak, penyanyi Shila Amzah meminta menghentikan penggunaan gelaran itu.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, menyifatkan tindakan terus menggunakan tanda pagar itu sebagai tidak berakal jika sudah berulang kali diingatkan sebagai kurang baik.

Tegas Shila, 33, dia pernah menasihati orang ramai mengenai perkara itu memandangkan sebutan tanda pagar berkenaan kedengaran kurang sopan.

"Hashtag itu (#ShiBai) bunyi tidak elok, kemudian orang ramai suka buat main dengan perkara itu. Jadi saya tidak suka.

"Dan saya tiada masalah untuk beritahu orang yang saya tidak suka. Orang kena hormat yang saya tak suka.

"Kalau mereka buat juga maknanya mereka tiada otak, setidaknya saya dah beritahu saya tidak suka hashtag itu," katanya.

Shila yang baru mengikat tali pertunangan dengan pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 25, pada 27 Mei lalu meluahkan rasa kurang senang mengenai isu itu di media sosialnya baru-baru ini.

Bukan itu saja, malah Shila turut meninggalkan komen di sebuah hantaran program hiburan meminta menukar penggunaan tanda pagar berkenaan.

Terdahulu, pasangan ini mengaku bercinta menerusi sesi siaran langsung aplikasi TikTok.

Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun ikatan perkahwinan tidak berpanjangan.

Pasangan itu bercerai pada Februari 2022. Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 4:17 PM