Ustaz Don Daniyal. FOTO GENES GULITAH
Ustaz Don Daniyal. FOTO GENES GULITAH

Kuala Lumpur: Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan terhadap pertanyaan pendengar di sebuah stesen radio.

Don Daniyal memberikan jawapan berkaitan soalan sama ada boleh atau tidak berpuasa pada hari Tasyrik.

Permohonan maaf ini dibuat oleh Don Daniyal menerusi media sosial Instagramnya hari ini. "Assalamualaikum WBT kepada semua. Saya minta maaflah sebab menjawab dalam keadaan mengelirukan. Saya minta maaf kepada semua.

"Minta maaf banyak-banyak, semoga Allah Taala mengampunkan dosa kita semua. Minta maaf semua.

"Okey jawapan yang betul pada Hari Raya Aidiladha tak boleh puasa dan pada Hari Tasyrik juga, termasuk sekali Hari Raya Kedua, ketiga dan keempat iaitu pada hari 11,12 dan 13 (Zulhijjah). Okey," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial Ustaz Don menjawab soalan daripada pendengar di sebuah stesen radio.

Dia menjawab diharamkan untuk berpuasa pada hari raya pertama sama ada pada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.

"Jadi kalau tanya boleh tak berpuasa pada Hari Raya Haji, tak boleh kalau hari raya yang pertama. Hari raya kedua, Ketiga dan keempat bolehlah.

"Sama juga macam Aidilfitri. Aidiladha tak boleh, Aidilfitri tak boleh pada hari raya pertama," katanya menerusi audio yang ditularkan di media sosial.

Menurutnya, soalan yang diajukan, boleh atau tidak berpuasa pada Hari Raya Aidiladha? Jadi masa kami nak rakam, kami tanya ini hari raya pertama sahaja ke? Hari raya pertama sahaja dia jawab, untuk kita beritahu yang mudah.

"Jawapan yang panjang sepatutnya Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri hari pertama tak boleh puasa, sama macam Aidilfitri hari raya kedua, ketiga dan keempat itu baru boleh puasa.

"Berbeza dengan Hari Raya Aidiladha ada Hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13. Bila jadi macam itu panjang huraian dia.

"Masa itu nak bagi faham sahaja, hari raya pertama tak boleh puasa. Itu sahaja. Tapi saya minta maaf, sebab jawab mengelirukan. Maafkan saya," kata Don Daniyal lagi.

Sementara itu, ramai pengikutnya memberikan komen positif terhadap permohonan maaf Ustaz Don. Ada yang menyifatkan mengaku kesalahan lagi mulia dari bongkak dan tidak mahu mengaku salah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:47 PM