Pendakwah Terkenal, Ustaz Don Daniyal ketika ditemui pada Sidang Media Berhubung Kontroversi Hadis di Smoke Kingdom by Don. FOTO GENES GULITAH
Pendakwah Terkenal, Ustaz Don Daniyal ketika ditemui pada Sidang Media Berhubung Kontroversi Hadis di Smoke Kingdom by Don. FOTO GENES GULITAH
Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya: Pendakwah, Ustaz Don Daniyal yang digugurkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah di RTM menggambarkan pasukan produksi di belakang dan hadapan tabir program itu sebagai pasukan luar biasa.

Menurutnya, walaupun namanya terpalit kontroversi selepas didakwa menggunakan hadis tanpa sumber, mereka tetap memberikan sokongan moral kepadanya.

"Salam Baitullah luar biasa. Pasukan yang bekerja untuk program ini, sokongan mereka kepada saya sangat luar biasa. Saya tahu apabila orang beri kepercayaan kepada saya, saya tak nak rosakkan kepercayaan itu.

"Dari pihak atasan sampailah kru, semuanya boleh nampak di wajah mereka, mereka berusaha. Tapi, kata akhir bukan daripada saya," katanya.

Don melihat situasi yang berlaku sebagai proses yang mematangkannya dan menerima dengan reda khidmatnya tidak lagi diperlukan dalam program yang dikendalikan bersama Fakhrul Radhi (UNIC), Imam Muda Megat Mohd Zaid dan Farah Diana Anuar itu.

"Apabila orang dah tak mahukan kita, kita tahu bila perlu berhenti. Apabila tak dijemput, jangan pergi. Ia proses yang matang," katanya.

Ditanya sama ada dia akan masih bekerjasama dengan RTM di masa akan datang untuk program lain, Don memilih untuk mengikuti sunah Nabi Muhammad SAW untuk terus menyayangi dan bersabar dengan umat-umatnya yang lain.

"Kata ulama, sunnah Nabi antara yang besar adalah menyayangi umat Nabi Muhammad SAW dan salah satu cara adalah dengan bersabar dengan umat-umatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:45 PM