YUKA Saso bersama trofi dimenanginya. FOTO AFP
YUKA Saso bersama trofi dimenanginya. FOTO AFP
AFP

Lancaster: Yuka Saso dari Jepun menunjukkan prestasi cemerlang pada sembilan lubang terakhir untuk memenangi gelaran Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) kali kedua.

Dia mencatatkan tiga bawah par 68 dengan kelebihan tiga pukulan di Lancaster Country Club di Pennsylvania, awal pagi tadi.

Yuka melakukan catatan keseluruhan empat bawah par 276 untuk meraih gelaran LPGA keduanya, tiga tahun selepas memenangi Terbuka AS di Olympic Club dekat San Francisco iaitu ketika mewakili Filipina.

"Ia sangat hebat," kata Saso, yang ibunya berasal dari Filipina dan ayahnya pula dari Jepun.

"Ketika menang pada 2021 saya mewakili Filipina, saya rasa ketika itu dapat memberi sumbangan semula kepada ibu.

"Tahun ini saya dapat mewakili Jepun, dan saya rasa dapat memberi sumbangan semula kepada ayah saya.

"Ia adalah perasaan yang indah apabila saya dapat memberi sumbangan semula kepada ibu bapa saya dengan cara yang sama," katanya lagi.

Pada usia 22 tahun, Yuka adalah pemain termuda yang memenangi Terbuka Wanita AS sebanyak dua kali.

"Saya hanya perlu cuba untuk bersabar ketika beraksi. Saya rasa itulah yang diperlukan untuk memenangi kejohanan besar seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 12:49 PM