ZALHASRAH bersama serangga batang yang dibelanya sejak empat tahun lalu.
ZALHASRAH bersama serangga batang yang dibelanya sejak empat tahun lalu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jika pencinta haiwan lain selesa memelihara kucing, burung, anjing, arnab dan hamster, Zalhasrah Ahmad Fathillah pula sebaliknya.

Suri rumah berusia 28 tahun itu memilih haiwan unik, serangga batang dan rama-rama Attacus Atlas untuk dipelihara sejak lebih empat tahun lalu.

Menurut Zalhasrah, serangga batang yang diberi nama Pickett sempena watak dalam filem fantasi, Fantastic Beasts itu memiliki keunikan tersendiri dan mudah dijaga.

Namun katanya, tidak ramai yang memelihara serangga seperti itu di negara ini memandangkan ia belum mendapat pendedahan yang meluas.

"Harga serangga batang juga tidak semahal mana jika dibandingkan dengan haiwan eksotik lain iaitu antara RM50 (kecil) hingga RM100 (dewasa) seekor.

"Ia biasanya boleh diperoleh di kedai haiwan eksotik yang berdaftar dengan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan),"katanya.

Dalam pada itu, kepelbagaian warna dan corak rama-rama spesies Attacus Atlas turut menarik minat Zalhasrah.

RAMA-rama spesies Attacus Atlas yang turut dibela Zalhasrah.
RAMA-rama spesies Attacus Atlas yang turut dibela Zalhasrah.

Spesies unik itu juga dikatakan antara yang terbesar di dunia.

Kata Zalhasrah, seperti serangga batang, rama-rama juga tidak begitu rumit untuk dipelihara.

"Rama-rama dan serangga batang itu perlu dibela dalam sangkar yang besar (mengikut saiz serangga) dalam bilik yang mempunyai penyaman udara.

"Seelok-eloknya, tempat serangga itu juga perlu dilengkapi sistem kabus automatik untuk menjaga tahap kelembapan yang sesuai," katanya

Mengulas lanjut, Zalhasrah berkata, kos makanan serangga itu tidak mahal seperti yang dibayangkan.

SANGKAR yang menempatkan serangga batang perlu luas dan besar untuk keselesaannya.
SANGKAR yang menempatkan serangga batang perlu luas dan besar untuk keselesaannya.

Bagaimanapun, makanannya agak rumit kerana ada sesetengah spesies hanya memakan daun tertentu.

"Contohnya, serangga batang dan rama-rama itu ketika di peringkat ulat bulu hanya makan daun blackberries, daun jambu batu dan daun mangga.

"Ia perlu diberi setiap minggu dalam kuantiti yang banyak bagi membolehkan mereka membesar dengan sihat," katanya.

Jelas Zalhasrah lagi, serangga itu juga tidak berbahaya terutama kepada kanak-kanak.

PICKETT, panggilan serangga batang kesayangan Zalhasrah.
PICKETT, panggilan serangga batang kesayangan Zalhasrah.

Ini kerana kebanyakan serangga tidak beracun dan berbisa, jadi ia sesuai dijadikan sebagai haiwan peliharaan keluarga.

Katanya, selain serangga berkenaan, dia turut memelihara beberapa spesies haiwan lain seperti katak, reptilia dan araknid.

"Minat terhadap haiwan unik seperti itu sebenarnya turut disokong keluarga terutama suami yang turut membantu menjaga dan berkongsi minat sama.

"Selain sebagai hobi, saya juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai betapa pentingnya ilmu dan menghargai serangga yang ada kerana ia memberi banyak manfaat kepada ekosistem alam sekitar kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 7:00 AM