LAKONAN mantap Murphy sebagai Oppenheimer.
LAKONAN mantap Murphy sebagai Oppenheimer.

FILEM: Oppenheimer

PENGARAH: Christopher Nolan

PENULIS SKRIP: Christopher Nolan

PELAKON: Cillian Murphy, Emily Blunt, Matt Damon, Robert Downey Jr, Florence Pugh, Josh Hartnett, Casey Affleck, Rami Malek dan Kenneth Branagh

TERBITAN: Syncopy Inc dan Atlas Entertainment

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Filem biopik ini mengangkat kisah ahli fizik teori, J Robert Oppenheimer yang dikenali sebagai Bapa Bom Atom.

Bagaimanapun, satu filem berdurasi tiga jam ini tidak mungkin dapat menterjemahkan apa yang mahu disampaikan pengarahnya, Christopher Nolan.

Apa yang boleh saya katakan, Oppenheimer adalah filem yang padat dan rumit, sekali gus memaparkan rentetan masa yang pelbagai.

Saya enggan menafikan bahawa ia sedikit memeningkan kepala di peringkat permulaan. Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam satu masa.

Watak Oppenheimer yang dilakonkan Cillian Murphy dapat digambarkan sebagai individu atau saintis yang mempunyai keghairahan untuk mencipta sesuatu yang hebat, namun mula menyedari bahawa ciptaannya itu mampu memusnahkan tanpa batasan.

Fizikal Murphy juga nampaknya berjaya meyakinkan saya bahawa begitu susuk sebenar seorang Oppenheimer di dunia nyata, saat zaman kegemilangannya.

Bermula sebagai seorang yang cemerlang, watak itu berkembang kepada seorang kaki perempuan, namun masih ada kelas dan sekali gus mencipta fenomena apabila berjaya mencipta sesuatu yang di luar kotak fikiran manusia iaitu bom atom.

ANTARA babak Murphy dalam Oppenheimer.
ANTARA babak Murphy dalam Oppenheimer.

MURPHY menerima arahan Nolan (kanan) ketika penggambaran Oppenheimer.
MURPHY menerima arahan Nolan (kanan) ketika penggambaran Oppenheimer.

Murphy kemudian membawa penonton untuk turut sama berasakan rasa bersalah yang wujud dalam hati Oppenheimer.

Rasa bersalah yang dibawanya mungkin kerana tidak pernah menyangka bom atom ciptaannya itu membawa kemusnahan luar biasa.

Lakonan hebat Robert Downey Jr sebagai Lewis Strauss juga patut diberikan pujian, begitu juga dengan watak Lt Gen Leslie Groves lakonan Matt Damon.

Watak wanita dalam filem ini iaitu Florence Pugh sebagai kekasih Oppenheimer, Jean Tatlock dan Emily Blunt sebagai isteri J Robert, Kitty Oppenheimer juga patut diberikan pujian.

Namun, alangkah lebih indah jiwa kedua-dua watak wanita ini diberikan ruang lebih luas dan bukan sekadar tempelan kecil.

Babak yang membuatkan saya sendiri gemuruh adalah ketika bom atom diletupkan. Tidak dinafikan, saya umpama berada di set penggambaran itu sendiri tatkala babak itu ditayangkan.

Selain itu, Oppenheimer turut memaparkan beberapa babak abstrak yang mana penonton perlu menilai dan memahami sendiri apa yang ingin disampaikan mengikut interpretasi sendiri.

Secara keseluruhan, kalau ditanya dalam skala satu hingga 10 untuk filem ini, tanpa ragu saya berikan sembilan persepuluh!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:49 AM