Abd Rahman melihat motosikalnya yang musnah dalam kebakaran, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Abd Rahman melihat motosikalnya yang musnah dalam kebakaran, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

DUA keluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah separa kayu dan batu masing-masing musnah dalam kebakaran di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, hari ini.

Kejadian berlaku pada 6.15 petang itu turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal.

Mangsa Azlinna Mohd Salleh, 38, berkata ketika kejadian dia dan tiga anak lelakinya berusia dua hingga enam tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat bawah, manakala suaminya Masrudi Abu Talib, 39, tidur di ruang tamu rumah berkenaan kerana tidak sihat.

Katanya, kebakaran disedari anak sulung Kashfi Masrudi, 6, apabila ternampak api di bahagian atas rumah lalu mengejutkan bapanya sebelum mereka dikejutkan untuk menyelamatkan diri.

"Saya dah tak fikir apa-apa kecuali menarik tangan anak-anak keluar dari rumah kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Kami menyewa rumah itu sejak dua bulan lalu dan gagal menyelamatkan barang berharga kerana api terlalu marak,” katanya.

Jirannya, Abd Rahman Ahmad, 22, berkata dia bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri selepas terdengar riuh rendah di luar rumah ketika sedang tidur di tingkat atas rumah yang terletak bersebelahan dengan rumah Azlinna.

Katanya, pada mulanya dia menyangka ada orang sedang bergaduh sebelum terasa bahang api ketika bumbung rumahnya terbakar.

"Saya terus turun ke tingkat bawah dan mendapati ahli keluarga lain sedang sibuk menyelamatkan diri termasuk mengangkat ibu kakak ipar saya yang berusia 70-an.

"Selain itu, motosikal saya turut musnah dalam kebakaran ini, tetapi saya bersyukur kerana semua ahli keluarga dan jiran selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Penolong Penguasa Bomba Mohd Ramzi Ab Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.26 petang sebelum sepasukan anggota dengan bantuan anggota BBP Jalan Raja bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba berusaha memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran tetapi disebabkan hujan lebat menyebabkan api berjaya dikawal pada 6.47 petang.

“Jarak dua rumah itu hanya kira-kira lima meter menyebabkan api merebak dengan cepat dan turut memusnahkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

“Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:33 PM