AZMIR - FOTO  Rohanis Shukri
AZMIR - FOTO Rohanis Shukri
Ramlah Zainal


Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan berusaha membantu seterusnya membuka jalan buat penggiat seni tanah air mengembangkan bakat kreatif hingga peringkat antarabangsa.

Apatah lagi melihat pada kejayaan luar biasa menerusi kutipan beberapa filem tempatan yang mencetus fenomena tersendiri, sekali gus menarik perhatian pelbagai jenama korporat terkemuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ada beberapa syarikat swasta yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pihaknya.

Katanya, sebagai perantara pihaknya hanya menyediakan ruang dan peluang.

"Sekarang kalau nak buat drama atau filem, kami hanya tumpu kepada yang berkaitan dengan industri seperti Media Prima Berhad, Astro, Golden Screen Cinemas dan sebagainya.

"Jadi, Finas membuka ruang kepada mana-mana penerbit yang berminat untuk mendapatkan dana dengan berjumpa terus dengan pelabur," katanya pada majlis pengumuman pratawaran permulaan awam (pra-IPO) Norman Pang Group (NPG) sempena pelancaran dana IPO Asia bersama MCI Capital dan pengumuman pelaburan untuk filem tempatan melalui kolaborasi Finas dan agensi insurans terkemuka NPG itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi dan Pengasas NPG, Datuk Seri Norman Pang dan Pengerusi MCI Capital, Cannis Chan.

Mengenai kolaborasi dengan NPG pula, kata Azmir, syarikat swasta itu menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam industri kreatif tempatan dengan melabur RM25 juta.

Katanya, jumlah pelaburan itu adalah sebahagian daripada dana IPO Asia sebanyak RM250 juta yang dilancarkan MCI Capital bagi membantu agensi insurans itu untuk memulakan proses pratawaran awam awal (pra-IPO) NPG di Bursa Saham Singapura (SGX).

AZMIR (berdiri tengah) menyaksikan majlis perjanjian bagi memulakan proses pratawaran awal NPG. - FOTO Rohanis Shukri
AZMIR (berdiri tengah) menyaksikan majlis perjanjian bagi memulakan proses pratawaran awal NPG. - FOTO Rohanis Shukri

"Sejajar dengan misi untuk merangsang industri perfileman, Finas mengalu-alukan kerjasama semua syarikat besar atau kecil untuk melabur dalam industri perfileman tanah air.

"Finas juga memuji komitmen NPG untuk melabur sebahagian dari dana IPO Asia sebanyak RM25 juta sebagai pelaburan dalam industri filem tempatan dan mempromosikan bakat tempatan di peringkat global.

"Sasaran utama NPG adalah pelaburan dalam pembikinan dan pengedaran filem. Ia memfokuskan kembali usaha untuk mengembangkan dan mengangkat industri hiburan tempatan ke di persada antarabangsa melalui kerjasama awam dan swasta," katanya.

Mengulas dari segi pemilihan karya (pembikin filem) pula, kata Azmir, segala urusan akan dibuat badan penilai yang ditubuhkan syarikat NPG.

"Finas hanya bantu mencadangkan skrip terbaik dan berpotensi untuk dinilai. Finas hanya membuka jalan, tetapi segala urusan penilaian akan dibuat pasukan NPG.

"Saya percaya pasukan penilai NPG disertai pihak yang faham dalam selok-belok industri untuk mengelak berlaku isu berbangkit di kemudian hari," katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan penggiat seni untuk memastikan penerbit mendapat butiran lengkap berhubung maklumat mengenai pelabur dan prosedur permohonan dana terbabit dalam masa terdekat.

"Ia membabitkan pertemuan dengan penerbit filem dan drama berkaitan dana termasuk penerangan mengenai pelaburan dan proses penilaian dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:48 AM