AZMIR Saifuddin. FOTO Faiz Anuar
AZMIR Saifuddin. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri

Sungai Buloh: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat rakaman, Universal Music untuk bekerjasama bagi mempromosikan drama dan filem menerusi lagu runut bunyi (OST).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, hasrat yang disuarakan Warner Music dalam pertemuan baru-baru ini dapat membawa impak positif kepada industri drama, filem dan muzik tanah air.

"Warner Music ada berjumpa dengan saya dan berbincang bagaimana kita nak promosikan drama melalui OST.

"Saya rasa, dengan teknologi baharu, saya pun baru perasan kita punya muzik yang dihasilkan di sini, popular di Indonesia menerusi platform TikTok.

"Mereka pun ada yang tak tahu penyanyi itu dari Malaysia atau Indonesia kerana lagu itu popular di platform itu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azmir, pihaknya juga bakal melancarkan dana baharu, Dana Pembangunan Skrip untuk menyediakan ruang dan peluang bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kerjasama ini.

"Finas melalui Kementerian, akan melancarkan dana yang baharu iaitu Dana Pembangunan Skrip. "Dalam dana itu mungkin boleh dibincangkan juga mengenai muzik, lagu OST, pelaburan untuk penerbitan dan sebagainya. Jadi, Warner Music berminat untuk bekerjasama dengan kami.

"Contohnya, kalau mereka melihat potensi sesuatu filem itu untuk masuk ke luar negara seperti negara-negara Asia, mungkin mereka boleh memperkenalkan artis-artis yang popular di negara itu," katanya.

Tidak hanya bersama Warner, Finas juga akan membuka perbincangan dengan label-label tempatan kerana melihat impak OST juga memainkan peranan dalam mempromosikan sesuatu karya.

"Saya pernah berbual dengan Nik Amir yang mengarahkan Imaginur dan dia juga berpendapat bahawa OST memainkan peranan penting.

"Insya-Allah, saya juga akan berjumpa dengan label-label tempatan juga. Ini satu cara untuk kita teroka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:44 PM