ARA cuba lari dari imej penyanyi balada rock menerusi lagu baharunya Delulu.
ARA cuba lari dari imej penyanyi balada rock menerusi lagu baharunya Delulu.
Georgie Joseph


CUKUP dikenali dengan lagu balada rock bernada tinggi, identiti begitu sangat tepat dengan genre muzik Ara Johari. Tambahan pula, vokalnya mantap dan penjiwaan juga padu.

Namun, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie, 27, memutuskan untuk menukar angin pula dengan lagu baharu pertaruhannya berjudul Delulu. Dia mahu tampilkan sisi berbezanya.

Bukan sekadar ingin keluar dari zon selesa, dia mahu menyanyi lagu berentak pop untuk lari dari imej lagu-lagu jiwang.

Katanya, itu antara langkah sulung diatur sejak bergerak di bawah pengurusan sendiri.

"Delulu berbeza dari single saya sebelum ini. Boleh dikatakan lagu ini menunjukkan sisi lain Ara Johari yang biasa orang kenal saya dengan lagu jiwang dan sedih.

"Ini juga fasa baharu dalam kerjaya nyanyian saya di mana bergerak di bawah pengurusan sendiri," katanya yang sebelum ini bersama Rocketfuel Entertainment (RFE).

Cukup popular dengan lagu Bunga dan Warkah Untukku, karya-karyanya sebelum membawa mesej yang agak mendalam. Bukan saja mendayu, bahkan bait-bait liriknya juga agak puitis.

Justeru untuk pertaruhan terbarunya, Ara ingin menampilkan lagu yang agak santai dan disuntik elemen segar.

Baginya, dia mahu pendengar pun dapat mendengar pembawaan nyanyiannya yang ringkas.

Disebabkan itu, dia memilih lirik yang agak ringan untuk Delulu. Tambahnya, ia juga hanya hiburan semata-mata yang tidak menyentuh mana-mana pihak.

"Delulu membawa maksud delusional atau ilusi seseorang terhadap sesuatu yang tidak pasti. Lagu ini membawa mesej ringan dan sekadar untuk hiburan.

"Delulu bukan lagu sindir mana-mana pihak hanya untuk hiburan selepas penat dengan isu-isu besar masa kini. Saya pasti siapa juga yang mendengarnya pasti akan ikut menari," katanya.

Terdahulu, Ara memilih untuk memilih haluan sendiri selepas lama bernaung di bawah RFE. Dia bersyukur dapat mengutip pengalaman bermakna selama lebih sedekad di situ.

Keputusan itu adalah sebagai langkah pemula untuknya menggapai impian tampil dengan hala tuju lebih baharu dan segar. Dia mahu mengemudi kerjayanya mengikut keinginan peribadinya.

Sementara itu, lagu Delulu ciptaan Ara bersama Justin Seow dan Ja'a sudah memasuki pelbagai pelantar strim bermula 3 Mei. Lagu itu diedarkan One Stop Music.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 6:20 AM