SAARI masih aktif cipta lagu-lagu baharu.
SAARI masih aktif cipta lagu-lagu baharu.
Norhayati Nordin


BAGI peminat muzik tempatan yang membesar pada era 1990-an, sudah tentu sinonim dengan lagu 'jiwang meleleh' hasil ciptaan komposer terkenal asal Kelantan, Saari Amri, 55.

Cukup dikenali dengan lagu-lagu popular nyanyian kumpulan Slam, dan Ukays, Saari pernah menjadi pencipta lagu pujaan ramai artis yang mahu bekerjasama dengannya suatu ketika dulu.

Seiring perjalanan waktu, nama Saari dalam bidang penciptaan lagu di negara ini tetap kukuh. Cuma, kebanyakan lagu-lagu baharu ciptaannya kurang mendapat perhatian dan disiar radio.

Katanya, dia akur keadaan industri muzik tempatan masa kini yang jauh berubah. Namun, baginya ia tidak bermakna minat pada penciptaan lagu harus 'pudar' kerana kurang mendapat sambutan seperti diharapkan.

"Sebenarnya selain bakat penyanyi tempatan yang masih inginkan lagu-lagu saya, tawaran juga datang daripada beberapa penyanyi dari luar negara terutama Indonesia.

"Saya pernah diminta datang ke Jakarta dan Bandung, Indonesia tahun lalu untuk bekerjasama dengan penyanyi di sana. Bagaimanapun, penularan Covid-19 yang melanda di seluruh dunia membuatkan kerjasama dirancang itu tertunda.

"Ingatkan tahun ini boleh selesaikan, tapi terus tertunda lagi dan tidak tahu sampai bila. Saya pun akan pastikan keadaan semasa situasi penularan wabak betul-betul reda dulu dan baru buat keputusan," katanya.

Menurut Saari, untuk keluar negara atas urusan kerja sekarang agak rumit kerana harus mengikuti protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan setiap negara, terutama menjalani kuarantin antara 10 hingga 14 hari.

"Untuk saya, agak kurang selesa duduk berlama-lama di negara orang dan kena kuarantin lagi. Itu semua membabitkan kos belanja dan lewatkan proses kerja. Justeru, saya fikir biarkan dulu.

"Tak akan lari ke mana rezeki itu, kalau sudah Allah tetapkan untuk kita. Saya suka melihat ke arah positif dan kurang gemar bersikap terburu-buru kerana yakin dengan perancangan Tuhan," katanya lagi.

Mengulas juga raut wajahnya yang serius, Saari berkata dia bukan orang yang sombong. Katanya, dia ramah berbual apalagi jika berbincang mengenai lagu dan muzik.

Bapa empat anak ini berkata dia seorang yang suka bercerita, dengar pandangan dan merendah diri. Katanya, kekayaan dan pangkat tidak dibawa ke kubur melainkan amal kebaikan dibuat sepanjang hidup.

Selama tiga dekad dalam industri seni tanah air, antara lagu popular ciptaan Saari yang masih diminati ramai ialah Madah Berhelah, Di Sana Menanti Di Sini Menuggu, Bukalah Hatimu, Berkat Kasihmu, Kekasihku Di Menara, Terasa, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.

Katanya, dia sentiasa ada ilham menghasilkan lagu-lagu baharu. Malah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dari tahun lalu hingga kini, Saari mempunyai lebih 1,000 lagu baharu hasil ciptaannya yang menjadi koleksi simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:20 AM