PENYANYI Nasyid Azmee Abdul Manap (DAQMIE). FOTO Amirudin Sahib
PENYANYI Nasyid Azmee Abdul Manap (DAQMIE). FOTO Amirudin Sahib
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, komposer dan penerbit, Daqmie, berharap agar penyanyi, Naufal Azrin dan Nuha Bahrin dapat bekerjasama semula dan menggambarkan gandingan kedua-dua bakat muda itu sebagai gandingan serasi.

Daqmie yang kini dalam proses pembikinan single solo baru Nuha berkata, tidak ada banyak pasangan duo yang popular menerusi lagu Casablanca itu memiliki keserasian sekuat Naufal dan Nuha.

"Kita doakan sebab kedua-dua mereka adalah gandingan yang bagus. Mereka berbakat besar. Dahulu, kita ada Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Francisca Peter, ada Nurul dan Ajai, ada Syamel dan Ernie.

"Jadi, kalau syarikat rakaman nak buat projek khas, tak rugi pun," katanya kepada Harian Metro.

Selepas dua tahun lagu Casablanca menjadi fenomena, Daqmie kembali bekerjasama dengan Nuha untuk single solonya selepas ini.

"Saya sedang buat lagu untuk Nuha untuk single solonya. Judulnya belum boleh dikongsikan, tapi masih ada kaitan dengan nama tempat.

"Kali ini, tak risau sebab saya dah nak bekerja dengan orang yang mudah. Nuha dah menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman baru, jadi mereka hubungi saya," katanya.

Lagu itu sebenarnya memang dicipta untuk Nuha, namun disimpan memandangkan ada beberapa perkara yang berlaku ketika Nuha masih bersama syarikat rakaman terdahulu.

"Lagu itu sebenarnya saya dah cipta untuk Nuha, tapi tak berkesempatan untuk kerjasama sebelum ini. Jadi, apabila Nuha dah bersama syarikat rakaman sekarang, mereka minta lagu dan saya persembahkan lagu yang memang saya dah cipta untuk dia.

"Saya memang cipta untuk dia dan saya simpan. Jadi, kerja kita dah jadi mudah sebab dah ada. Dengan Naufal, memang tak ada hubungi," katanya.

Mengimbau impak lagu Casablanca, ia mendapat perhatian bukan saja oleh peminat muzik tanah air, tetapi tular sehingga ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 3:25 PM