Naufal dan Nuha (kiri) menerima 2X Platinum Award daripada pihak BeeGood Music dan Universal Music Malaysia.
Naufal dan Nuha (kiri) menerima 2X Platinum Award daripada pihak BeeGood Music dan Universal Music Malaysia.
Sudirman Mohd Tahir


Petaling Jaya: Lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin mendapat 2X Platinum Award selepas mencapai 400,000 muat turun di semua platform muzik digital sejak dilancarkan pada 4 Jun lalu.

Nuha, 22, atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin berkata, pencapaian diraih itu adalah kejayaan luar biasa bukan saja untuk lagu itu tapi juga dalam kerjaya seninya.

"Semua tahu saya bermula macam mana dalam industri ini. Selepas pelbagai insiden dilalui, ia mengajar saya untuk terus memperbaiki diri. Setiap hari adalah proses pembelajaran saya.

"Alhamdulillah, lagu ini berjaya diterima baik bukan saja dalam negara, tapi juga luar negara khususnya di Indonesia. Memang sangat luar biasa. Terima kasih kepada semua pasukan dan peminat yang terus memberikan sokongan terhadap lagu ini," katanya.

Sementara itu, Naufal bersyukur dengan sambutan diberikan selain tidak pernah menjangka lagu Casablanca boleh mencetuskan fenomena luar biasa.

"Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja. Kami sudah buat yang terbaik, dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Alhamdulillah, Tuhan beri kami rezeki yang tidak dijangka. Terima kasih Malaysia dan Indonesia," katanya. 

Terdahulu, Nuha dan Naufal ditemui pada Majlis Kesyukuran Casablanca yang diadakan di Ibu Pejabat Universal Music Malaysia, hari ini.

Lagu Casablanca mencipta sejarah apabila menjadi lagu pertama tempatan yang paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia. 

Lagu ciptaan Daqmie dan lirik oleh Abdul Karim Al Ali itu juga menduduki tempat ke-13 Spotify Top 50 Indonesia di penstriman muzik itu serta mendapat kedudukan tempat pertama di aplikasi JOOX Malay Hits.

Manakala di aplikasi Apple Music Top 100, Casablanca menduduki tempat kedua. 

Selain itu, video muzik (MV) yang dilancarkan pada 4 Jun lalu itu sudah mencecah 23 juta tontonan di saluran YouTube Masyhur.

Disebabkan sambutan luar biasa itu, lagu Casablanca terbitan bersama syarikat BeeGood Music dan Universal Music Malaysia diterbitkan semula dalam versi Arab yang mana dilancarkan pada tengah malam ini di semua platform muzik digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 5:54 PM