DAQMIE. FOTO Arkib NSTP
DAQMIE. FOTO Arkib NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penulis lirik lagu Casablanca, Daqmie mengakui kebenaran fakta tatabahasa yang dibangkitkan guru selebriti yang juga guru Bahasa Malaysia, Saliza Ibrahim atau Cikgu Zack Kirana bahawa ayat 'denyut jantungku berdebar' dalam lirik lagu itu adalah tidak tepat.

Daqmie yang menulis lirik lagu itu bersama Abdulkarim Al Ali berkata, dia menggunakan perkataan 'denyut' yang bersesuaian dengan metafora yang cuba untuk digambarkannya.

"Saya memang faham apa yang saya buat kerana itu adalah metafora yang cuba saya ketengahkan. Dari segi bahasa apa yang dia cakap itu memang betul, cuma dari segi penulisan kreatif, saya mempunyai alasan tersendiri.

"Memandangkan dia adalah guru Bahasa Malaysia, jadi saya memahami tegurannya. Biarlah dia membuat kerja dia tetapi apabila diajukan mengenai isu ini saya boleh jawab.

"Jantung berdegup, dada berdebar-debar dan nadi berdenyut-denyut. Ia lebih sedap apabila disusun begitu. Apa yang pasti, saya tahu apa yang saya lakukan.

"Jika diikutkan tajuknya juga tiada kena mengena iaitu Casablanca yang membawa maksud rumah putih. Saya akui kebenaran yang dibangkitkan oleh Cikgu Zack," katanya yang juga pencipta lagu itu bersama Wan Saleh.

Terdahulu, Cikgu Zack menerusi video di TikTok menjelaskan ayat 'denyut jantungku berdebar' dalam lirik lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu adalah tidak tepat.

Cikgu Zack berkata, penggunaan perkataan 'denyut' adalah tidak tepat dan perlu digantikan dengan perkataan 'degup' yang lebih sesuai untuk gambaran jantung.

Dalam pada itu, Daqmie berkata, banyak faktor yang menyebabkan lagu itu berjaya dan diterima bukan saja di Malaysia dan Indonesia tetapi juga di negara-negara lain termasuk Timur Tengah.

"Sebenarnya saya takut apabila ia menjadi besar kerana tidak menyangka sehingga ke tahap ini. Namun, saya bersyukur atas sambutan diberikan penggemar muzik tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 6:25 PM