Daqmie
Daqmie
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Tak jumpa orangnya. Tak tahu ke mana pergi dah,".

Demikian kata komposer lagu Casablanca, Daqmie, 53, ketika ditanya mengenai projek kedua antaranya bersama penyanyi Naufal Azrin dan Nuha Bahrin selepas lagu itu berjaya menjadi fenomena beberapa tahun lalu. 

Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap yang juga penyanyi berkata, dia sudah menghantar tiga lagu kepada pihak pengurusan kedua-dua penyanyi itu sejak November 2022 untuk dijadikan projek seterusnya, namun hingga kini belum mendapat sebarang maklum balas. 

"Nuha dengan Naufal, ceritanya kelakar. Selepas saya siapkan lagu itu, saya dijangkiti Covid-19. Saya dah siapkan semuanya. Semasa rakaman, saya tak ada dan pembantu penerbit saya, Wan Saleh yang selesaikan. 

"Casablanca adalah lagu keempat yang saya serahkan kepada pengurusan mereka selepas tiga lagu lain ditolak. Bila saya dah buat (lagu keempat), baru kena dengan apa yang dimahukan. 

"Saya beritahu mereka, jom buat lagu seterusnya. Saya dah hantar tiga lagu, tapi saya tak tahu di mana silapnya. Pihak pengurusan terbabit ada beri maklum balas dan beritahu nanti mereka akan semak semula. Dah setahun lebih (November 2022)," katanya kepada Harian Metro. 

Daqmie bagaimanapun tidak pernah terasa hati memandangkan situasi sebegini sudah pernah dilaluinya sebagai komposer. 

"Rancangannya, selepas Casablanca mereka akan keluarkan single solo masing-masing dan akan duet semula. Mungkin pengurusan mereka ada rancangan sendiri. Saya dah lali dengan benda ini. 

"Lagu itu pun saya dah berikan kepada satu kumpulan lain sekiranya ia sesuai. Saya tukar sedikit untuk sesuaikannya. 

"Bila saya tengok balik, Casablanca itu adalah peringkat terakhir lagu Arab diterima baik di sini. Pusingannya sudah sampai di penghujung dan selepas Casablanca, ia turun mendadak," katanya. 

Ditanya sama ada dia pernah berhubung dengan kedua-dua artis itu, Daqmie berkata, dia hanya berurusan dengan pihak pengurusan. 

"Saya berurusan dengan pengurusan mereka saja dan tak pernah berhubung terus dengan mereka. Jadi, saya hanya kontraktor yang hasilkan lagu saja. 

"Kalau berjumpa pun, rasanya pernah sekali saja dalam satu majlis yang mengumpulkan semua orang yang terbabit dalam penghasilan lagu itu," katanya. 

Terbaharu, Daqmie baru saja melancarkan album baharu berjudul Ramadan 1445 yang memuatkan 18 lagu dan menampilkan dua kumpulan nasyid iaitu Rabbani dan Syahmura. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 5:52 PM