AR Rahman
AR Rahman
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Maestro muzik tersohor India, AR Rahman, 57, menyifatkan Malaysia sentiasa istimewa di hatinya dan menjadi nadi semangat perjuangan seninya selama ini.

AR Rahman atau nama sebenarnya A S Dileep Kumar berkata, Malaysia menjadi titik-tolak terpentingnya sebagai penghibur dan tersentuh sokongan rakyat negara ini masih utuh sehingga kini.

"Penonton Malaysia adalah yang paling luar biasa. Konsert sulung saya adalah di Malaysia. Ia bermula di Malaysia. Saya tak pernah terfikir nak buat persembahan, namun saya dijemput ke Malaysia.

"Rasa ikatan terhadap negara ini sentiasa ada. Semua kasih cinta, sorakan, galakan sepanjang bertahun-tahun. Bila saya jatuh, saya memikirkan peminat di Malaysia dan kemudian dapat tenaga semula," katanya dalam temubual maya sempena konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur, semalam.

AR Rahman berkata, dia sememangnya sangat teruja akan dapat kembali ke sini menjayakan konsert anjuran StarPlanet Malaysia yang bakal berlangsung pada 27 Julai nanti, jam 8 malam, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini.

Katanya, segala persiapan masih diperincikan termasuk pemilihan artis yang akan beraksi. Dia tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Siti Nurhaliza akan buat penampilan lagi.

"Artis-artis akan diumumkan satu persatu, lagu masih disusun namun kami memastikan konsert itu akan jadi ikonik dan terbaik.

"Saya ada berbual dengan Siti dan dia menjadi sebahagian daripada konsert saya sebelum ini. Dia memberikan persembahan menakjubkan dan menjadi tular.

"Rasanya dia seorang saja artis (Malaysia) yang saya kenal. Saya sebenarnya kena berjumpa dengan lebih ramai orang," katanya.

Dalam pada itu, AR Rahman juga belum merasa dirinya layak untuk memiliki filem biopik sendiri. Walaupun namanya sudah terlalu ikonik, dia rasa perjalanannya masih jauh.

"Saya tidak mahu ada biopik kerana sudah berpeluang dibukukan oleh Krishna Trilok. Ada tawaran daripada syarikat Hollywood mengatakan mereka berminat terhadap buku itu.

"Tetapi, saya menolaknya kerana saya baru bermula," katanya.

Terdahulu, pemenang trofi Oscar 2009 itu mencipta sejarah tersendiri apabila lebih 60,000 hadir di SNBJ pada konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023.

Lebih istimewa, konsert itu turut menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza berduet bersama AR Rahman menerusi lagu Tamil klasik berjudul Munbe Vaa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 1:51 PM