Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, meminta hentikan perbandingan mengenai konsertnya dengan acara besar diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Siti, mengakui dia enggan terpalit dengan reaksi netizen yang kurang senang selain perlu menjawab hal itu setiap kali ia dibangkitkan atau diungkit.

"Korang semua ni kan suka tau buat 'posting' macam ini. Nanti kalau ada komen-komen saya juga yang kena. Janganlah ya, saya tidak pernah risau apa-apa pun," katanya.

Penyanyi Cindai itu berkongsi mengenai hal berkenaan menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.

Terdahulu, sebuah akaun di aplikasi X membuat ciapan mengatakan Siti sudah tidak perlu risau kerana perlawanan akhir Piala Malaysia di SNBJ semalam menghimpunkan  seramai 85,550 penonton.

Sekaligus memintas angka penonton seramai lebih 75,000 pada konsert Music Of The Spheres World Tour  kumpulan terkenal Britain, Coldplay pada 22 November lalu.

Selepas konsert terbabit, sebuah hantaran info tular yang memaparkan jumlah kehadiran itu mengatasi rekod konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour 2004 iaitu 70,000.

Bagaimanapun, ramai netizen menyelar tidak adil untuk membandingkan acara konsert dan perlawanan bola sepak. Terutama perbezaan harga tiketnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 6:14 PM