SENIMAN anjur gerai jualan persiapan Syawal ilham daripada filem legenda di KL Gateway Mall, Bangsar South.
SENIMAN anjur gerai jualan persiapan Syawal ilham daripada filem legenda di KL Gateway Mall, Bangsar South.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebagai organisasi yang memayungi artis, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sentiasa mencari jalan untuk memajukan ahlinya.

Justeru, sempena Ramadan ini, Seniman mengambil inisiatif membantu mereka menambah pendapatan menerusi penganjuran Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street di KL Gateway Mall, Bangsar South.

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, dalam masa sama, tarikh 22 Mac dipilih sebagai pembuka jualan sebagai inisiatif bagi memperingati hari kelahiran Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Bazar diilhamkan daripada filem legenda saga Bujang Lapok itu menjanjikan suasana beli-belah persiapan Syawal yang selesa dan menarik di bawah satu bumbung.

"Kami sediakan 50 gerai jualan merangkumi selebriti, pekerja industri kreatif iaitu kru belakang tabir dan pengarah serta peniaga lain.

"Besar hasrat kami bazar berkonsepkan 'one stop center' di KL Gateway Mall yang menjadi tumpuan ramai ini dapat memenuhi iltizam membantu anak seni kurang berkemampuan," katanya.

Menurutnya, walaupun banyak permintaan daripada penggiat seni, Seniman terpaksa mengehadkan 'booth' hanya kepada sebilangan ahli, manakala 40 peratus dibuka kepada vendor lain.

Antara vendor selebriti yang terbabit ialah Che Ta, Ezylyn, Adrea Abdullah, Nor Azifah, Emma Akma dan Salman JKKK.

"Seniman memberi keutamaan kepada warga industri yang terjejas dari segi kewangan atau mempunyai masalah kesihatan. Mereka bakal mendapat tawaran harga berpatutan dan tidak membebankan iaitu serendah RM50 sehari.

"Tujuan penganjuran bazar berkonsep filem saga Bujang Lapok untuk membantu golongan sasaran, menyediakan pusat jualan sehenti raya, sekali gus menyemarakkan Hari Seniman," katanya.

Dalam pada itu, Zed mengakui penggunaan nama Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street ini diinspirasi daripada kewujudan pelbagai karnival lain menggunakan nama unik antaranya Pasar Saloma yang kini menjadi bualan ramai.

"Orang tertarik dengan nama unik ini. Bazar Ria Raya Bujang Lapok Street sendiri menyelitkan banyak acara sampingan.

"Antara yang berada dalam senarai adalah pertunjukan fesyen kanak-kanak, cabutan bertuah, selain acara rewang bungkus kuih raya untuk diagihkan kepada orang ramai.

"Ada hari tertentu, semua peniaga berpakaian ikut konsep seperti tema filem Bujang Lapok. Hiasan gerai juga dibuat mengikut tema empat filem Bujang Lapok termasuk Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok," katanya.

Pada masa sama, Seniman menjangkakan bazar yang berlangsung tiga minggu bermula semalam dan berakhir pada 7 April depan itu bakal dimeriahkan 50,000 pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:30 AM