Zed Zaidi
Zed Zaidi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak berpeluk tubuh begitu sahaja melihat penderitaan anak-anak seni yang kurang bernasib baik seperti Enot yang menderita sakit lutut.

Presidennya Zed Zaidi berkata, mereka sebaliknya berusaha keras mencari dana bukan sahaja untuk membantu Enot tetapi juga penggiat seni lain yang sedang sakit.

"Tetapi dalam keadaan sekarang Seniman pun tengah berusaha mencari dana atau peruntukan untuk bantu mereka. Dulu agensi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) banyak memberi peruntukan-peruntukan kebajikan untuk persatuan jalankan aktiviti membantu ahli yang memerlukan.

"Namun dalam keadaan sekarang apabila berlakunya pertukaran kerajaan dan bila ekonomi makin susut, program pun makin kurang jadi peruntukan dana untuk kebajikan pun semakin berkurangan.

"Jadi kita masih berusaha untuk mendapatkan penajaan ataupun cuba wujudkan tabung yang bersesuaian untuk bantu Enot dan juga yang lain-lain. Insya Allah dalam masa terdekat kami akan buat sebab sekarang orang masih bercuti raya. Banyak Ahli Jawatan Kuasa berada di luar kawasan," katanya kepada Harian Metro.

Zed atau Rozaidi Jamil berkata, mereka sememangnya sudah mengambil maklum perkara ini dan pelaksanaannya akan dibuat dalam masa terdekat.

"Mana yang boleh dibantu, kita bantu ikut kemampuan persatuan. Agak sukar nak cari dana sekarang. Kalau nak buat karnival jualan pun untuk cari dana, dalam keadaan sekarang orang tiada duit, ekonomi teruk.

"Dalam masa sama, kita dah tengok contoh penganjuran bazar-bazar jualan sebelum ini pun, semuanya buat event tapi ramai orang datang tak membeli. Dari situ kita tahu orang tak berduit.

"Penaja pun tiada bisnes yang banyak untuk bayar zakat. Duit mereka untuk program khidmat masyarakat pun dah berkurangan, jadi mereka dah tak menaja," katanya.

Dalam masa sama, Zed memberi contoh baru-baru ini kerajaan menubuhkan tabung komuniti filem yang mempunyai pelepasan cukai.

Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak tahu proses atau mekanism untuk menggunakannya.

"Seniman pun tak tahu formula nak gunakan tabung yang ada pelepasan cukai ini oleh Finas. Sebabnya tengoklah kepimpinan Finas pun tak tahu tak fasal benda itu. Jadi kita nak gunakan untuk kutip tabung ada pelepasan cukai pun kita tak tahu macam mana nak buat.

"Ini yang sekarang kita masih tunggu hala tuju Finas. Jadi sampai bila pun kita tak boleh nak bantu hal-hal kebajikan untuk mencari dana bantu ahli-ahli. Itu masalah persatuan sekarang berbanding sebelum ini," katanya.

Terdahulu Enot atau nama sebenar, Aliza Abdullah, 45, memerlukan kos sekitar RM18,000 untuk proses pembedahan lutut selepas terjatuh di bilik air di kediamannya, Disember lalu.

Selain kos pembedahan, dia perlu mempunyai tabungan bagi menampung kos hidup selepas prosiding itu berikutan perlu berehat lama.

Enot mendakwa pelbagai usaha dilakukan seperti berniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri, namun, masih gagal mengumpul kos pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 4:16 PM