BERTEMAKAN ‘Magika Raya @B5,’ Kempen Hari Raya B5 Johor Street Market  berlangsung  sehingga 9 April ini dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
BERTEMAKAN ‘Magika Raya @B5,’ Kempen Hari Raya B5 Johor Street Market berlangsung sehingga 9 April ini dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Oleh Suliati Asri

Bagi yang mahu membuat persediaan menyambut lebaran lebih awal terutama warga Johor, Kempen Hari Raya B5 Johor Street Market yang diadakan di Pusat Komersil B5 Johor Street Market di bawah Johor Land Berhad menanti dengan pelbagai tawaran dan ganjaran menarik.

Bertemakan 'Magika Raya @B5,' Kempen Hari Raya B5 Johor Street Market yang berlangsung sejak 25 Februari sehingga 9 April ini dibuka dari jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam.

Selain memenuhi keperluan pelanggan dalam melakukan persediaan awal, terdapat lebih 100 vendor dari pelbagai jenama antaranya Bulan Bintang, Elrah Exclusive, Adnaa, Fazbulous, Dang Anum, Eastana Exclusive, Intan Aziz, Orifake dan banyak lagi.

Bukan itu saja, pengunjung juga berpeluang bertemu selebriti terkenal tanah air di gerai-gerai selebriti yang akan bersama-sama B5 Johor Street Market untuk menjayakan kempen berkenaan.

Selain tawaran jualan fesyen pakaian, kempen ini juga menyediakan pelbagai pilihan kuih-muih dan kudapan raya yang pastinya akan memikat selera tetamu yang datang ke rumah Syawal nanti.

Sepanjang Ramadan ini juga, B5 Johor Street Market turut menganjurkan 'Bazar Iftar ke Moreh' yang menawarkan pelbagai menu juadah berbuka dan moreh. Bazar itu beroperasi sehingga jam 12.00 tengah malam.

Suasana perayaan yang diserikan dengan dekorasi menarik di pentas utama, gerai-gerai dan kedai-kedai yang diinspirasikan dari tema Magika sekali gus mengimbau nostalgia beraya bersama keluarga di kampung halaman yang sememangnya sinonim tatkala tibanya musim raya menjadikan suasana memberi-belah lebih meriah.

Tidak hanya menawarkan pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan, Kempen 'Magika Raya @B5' ini juga menawarkan ganjaran menarik kepada semua pelanggan.

Pelanggan yang berbelanja RM200 dan ke atas dalam maksimum gabungan dua resit di mana-mana gerai dan kedai, mereka berpeluang menyertai Cabutan Telaga Bonanza Magika yang menawarkan duit raya tunai dengan jumlah keseluruhan sehingga RM20,000.

Bukan itu saja, pelanggan juga boleh membuat penebusan sampul raya eksklusif sepanjang tempoh kempen sementara stok masih ada (tertakluk kepada terma dan syarat).

Justeru, jangan lepaskan peluang hebat ini dan berkunjunglah ke B5 Johor Street Market. Untuk maklumat lanjut, layari laman www.facebook.com/B5JohorStreetMarket.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 3:05 PM