SUNTIK kelainan dalam gaya penyampaian tanpa membelakangkan identiti yang sudah sebati dalam single terkini.
SUNTIK kelainan dalam gaya penyampaian tanpa membelakangkan identiti yang sudah sebati dalam single terkini.
Zaara Talita

SEBAGAI penyanyi yang mementingkan kejujuran dan kesempurnaan dalam berkarya, Misha Omar begitu teliti dalam pemilihan lagu untuk memastikan karya yang dihasilkan mendapat tempat di hati pendengar.

Justeru, penyanyi kelahiran Kelantan berusia 42 tahun ini tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa menanti lama kerana percaya, penantian panjangnya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

Hampir empat tahun tanpa single terbaharu selepas kemunculan Tanpa Rela pada Ogos 2020, pelancaran lagu Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan dan persoalan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan terbaharu daripadanya.

Mula dilancarkan di semua platform muzik bermula 1 Mac lalu, single berkenaan menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer, Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi lagu Sampai Bila enam tahun lalu.

"Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu itu terus ke depan.

"Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri muzik, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.

"Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?" katanya.

Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.

Lagu yang liriknya ditulis Que Afiq adalah hasil kerjasama bersama dua syarikat rakaman iaitu Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.

Akui Misha, lagu berkenaan tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu berkenaan.

"Saya sinonim sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengawal emosi ketika menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.

"Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik," katanya.

Akur pasti ramai mengharapkan kerjasama terbaharunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

"Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.

"Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu," katanya.

Berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberinya dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian naskah itu, Misha mengakui berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.

Dia sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.

"Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.

"Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.

"Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri," katanya.

Single berkenaan menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 jam 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 6:31 AM