OPTIMIS dengan karya ciptaan Sharon Paul.
OPTIMIS dengan karya ciptaan Sharon Paul.
Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi Razmansyah yang dahulu bergerak secara trio, memilih tampil solo menerusi single pertamanya berjudul Pergi hasil ciptaan komposer, Sharon Paul dan lirik oleh penerbit terkenal, Datuk A Aida.

Razmansyah, 22, berkata, keputusan bergerak solo dibuat kerana ingin keluar dari zon selesa.

"Syukur kepada Allah SWT impian saya untuk memiliki lagu sendiri akhirnya tercapai jua. Ibarat mimpi menjadi kenyataan, segala-galanya berlaku hasil idea genius Sharon Paul dan juga Datuk A Aida yang percaya dengan bakat yang saya ada.

"Saya ingin keluar dari zon selesa dan mencuba untuk bergerak solo kerana sering ditemani oleh Afiq Adnan dan Nidza Afham. Pun begitu bermakna kami berpecah kerana sebelum ini lagu-lagu yang kami nyanyikan adalah kolaborasi secara bertiga, jadi tiada istilah kami sebenarnya berkumpulan," katanya.

Menurut Razmansyah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Malaya dia menjalani latihan vokal selama sebulan sebelum memulakan proses rakaman.

"Proses rakaman single ini dibuat di Werkit Records di bawah penyeliaan Sharon Paul. Menariknya, sebelum memasuki studio saya diberikan tempoh sebulan untuk berlatih vokal dengan Nadeera Zaini yang juga pemenang program Lagu Cinta Kita musim kedua. Banyak yang saya pelajari serta dapat menyelami emosi dalam lagu ini.

"Saya sedar kekuatan nyanyian saya terletak pada lagu-lagu berunsur balada yang perlahan dan lagu ini dapat m

emaparkan kebolehan vokal saya yang sebenar. Namun, saya tidak menolak jika diberikan peluang untuk menyanyikan lagu pop rancak seperti single OY lagi," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai single Pergi, Razmansyah berkata ia diterbitkan oleh syarikat rakaman Werkit Records dengan kerjasama Rocketfuel Entertainment.

Malah lagu Pergi itu adalah cabaran baharu buat dirinya dalam memperkenalkan lagi bakat dimiliki.

"Sebagai permulaan kepada perjalanan solo saya, Sharon Paul yang mencadangkan lagu ini dengan tajuknya yang mudah hasil idea Datuk A Aida yang mahukan perkataan yang senang dan berulang, maka tercetuslah Pergi.

"Lagu ini mengenai seseorang yang mengatakan dirinya rela dengan pemergian orang yang dicintainya namun hakikatnya masih menyayangi dan sukar untuk menerima kenyataan.

"Sebagai pendatang baharu, saya sedar ada cabarannya untuk memperkenalkan dalam bidang ini. Cabaran paling besar buat saya adalah bagaimana untuk menonjolkan bakat yang saya ada, dan pada masa yang sama mempunyai identiti sendiri dan tidak dilabelkan sama dengan mana-mana artis yang sedia ada," katanya.

Selain single, video muzik (MV) Pergi turut dilancarkan serentak dengan penceritaan yang 'conceptual' memaparkan sebuah perhubungan yang didatangi oleh orang ketiga seperti mana jalan cerita liriknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:45 AM