AQEESH ALEEYA muncul dengan single keempat, Lelah.
AQEESH ALEEYA muncul dengan single keempat, Lelah.
Norhayati Nordin


WALAUPUN sedar saingan antara penyanyi baharu yang muncul bertali arus mencari tapak memahat nama dan bakat, ia diakui tidak sedikit pun melemahkan semangat Aqeesh Aleeya, 20.

Bagi pemilik nama sebenar Nur Balqis Aleeya Shahrom ini, dia perlu berani mencuba untuk terus mendapatkan peluang dan gembira kini muncul dengan lagu Lelah, hasil ciptaan komposer, Sharon Paul serta Mim Hamzah.

Mengulas taruhan lagu baharu keempatnya ini, Aqeesh berkata, dia berpuas hati tampil dengan single bergenre balada yang turut menggabungkan elemen muzik moden dan klasikal.

"Lagu ini (Lelah) mengisahkan perasaan seorang wanita yang sudah penat dengan ikatan cinta dijalin bersama pasangan atau kekasihnya yang selalu menyakiti hati dan akhirnya menghancurkan hubungan itu.

"Saya melihat semua single yang pernah dihasilkan sebelum ini mempunyai kelebihan tersendiri dan untuk lagu Lelah, ada kelainannya iaitu diselitkan sedikit dengan gabungan muzik moden serta klasikal.

"Apa-apa pun, yang pasti saya akui berasa diri agak beruntung apabila dapat bekerjasama lagi dengan pencipta lagu berkaliber seperti Sharon yang boleh disifatkan sebagai pengalaman yang cukup berharga buat saya," katanya.

Menurut Aqeesh, antara pengalaman yang begitu dihargainya ialah Sharon banyak memberikan ilmu baharu dan wanita itu tidak sedikit pun lokek atau kedekut berkongsi pengetahuan yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Sebenarnya, ini kali yang kedua saya bekerjasama dengan Sharon dalam rakaman lagu dan saya amat seronok dan tenang kerana dia (Sharon) seorang yang sangat baik dan senang bekerjasama dengannya.

"Cuma, cabaran kecil saja saya hadapi iaitu mengalami demam dan selesema sehari sebelum rakaman lagu. Selain, saya juga perlu bergegas selepas kuliah di kampus di Negeri Sembilan untuk ke studio rakaman di Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Aqeesh, dia bagaimanapun sangat bersyukur kerana lagu Lelah turut dipilih sebagai lagu tema drama Rindu Kasih 2 yang kini ditayangkan di slot Samarinda TV3, jam 10 malam sebanyak 20 episod.

"Harapan saya agar lagu Lelah ini dapat diterima baik semua pendengar muzik dengan hati terbuka dan faham mengenai rintihan emosi serta perasaan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini," katanya.

Karya lagu Lelah yang diterbitkan Nova Music itu boleh distrim di semua pelantar muzik digital, termasuk vide muziknya juga sudah dimuat naik di saluran YouTube.

Aqeesh mula aktif menyanyi sejak berusia sembilan tahun dan pernah menyertai pertandingan Bintang Kecil 2013 serta dinobatkan naib juara dalam Bintang Kecil 2014 lalu.

Pada 2017, Aqeesh menjuarai pertandingan pencarian bakat secara 'online' iaitu Bakat Ohsem Malaysia' (BOM) dan dia muncul dengan single pertama, Aku Malu, diikuti single kedua, Kau Ada pada 2022 dan seterusnya single ketiga berjudul Retak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 6:45 AM