AMYZA bergandingan dengan anak, Adrian rakam lagu Salam Sayang.
AMYZA bergandingan dengan anak, Adrian rakam lagu Salam Sayang.
Sudirman Mohd Tahir


AIDILFITRI bakal menjelma. Ini adalah tahun kedua kita menyambut Syawal dalam norma baharu. Semestinya perasaan rindu pada kampung halaman, keluarga dan sanak saudara semakin menebal.

Mana tidaknya, sudah dua tahun kemeriahan Aidilfitri tidak dapat disambut dengan sanak saudara yang jauh dan dekat. Pasti banyak cerita yang ingin dibualkan di pagi raya nanti. Hanya panggilan video sebagai pengubat rindu.

Melihat situasi ini, Media Prima Berhad melalui syarikat rakaman Monkey Bone mengambil peluang menghasilkan sebuah lagu yang dapat menyampaikan perasaan rindu kepada keluarga dan insan tersayang iaitu Salam Sayang.

Lagu Salam Sayang boleh dikatakan sebagai penghubung dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri tahun ini. Walau jarak memisahkan, tetapi bulan kemenangan ini tetap disambut dengan kemeriahan. Lebih istimewa lagu ini juga diangkat sebagai lagu tema Aidilfitri Media Prima Berhad.

Lagu gubahan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Acap ini disampaikan pasangan ibu dan anak popular, Amyza Aznan dan Adrian. Mereka adalah peserta dan pemenang bagi rancangan Famili Duo Episod 4 yang bersiaran di TV3.

Semua pihak bersetuju apabila kali pertama pasangan ibu dan anak ini dicalonkan untuk merakamkan lagu ini. Aura dan keletah mereka menjadi aspek penting dalam pemilihan kali ini. Seperti yang diduga, dengan bantuan komposer terkenal, Sharon Paul, lagu ini sangat menepati cita rasa setiap pendengar.

Sebagai penyanyi cilik, Adrian mempunyai satu jalan yang baik di ruang industri hiburan dengan anugerah suara yang dikurniakan. Dilamar oleh Monkey Bone, Adrian juga dalam proses menyiapkan single pertama.

"Saya percaya setiap ibu mahu yang terbaik untuk anak mereka. Saya sendiri melalui kesukaran untuk bakat dikenali. Jadi, saya sedar bukan senang untuk mendapat ruang dan peluang seumpama ini.

"Platform kejayaan Famili Duo minggu keempat ini menjadi pembuka jalan untuk Adrian Adam sendiri berkongsi bakat. Selama ini dia sendiri tidak yakin dengan bakat yang ada.

"Malah, pernah dipermainkan oleh pihak tertentu sebelum ini. Orang di luar sana boleh berkata apa saja. Ia tak jadi kudis. Tapi, niat saya hanya mahu menyokong bakat anak," katanya.

Amyza juga Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2019 menyifatkan tawaran diterima anaknya adalah rezeki.

"Tak saya nafikan selepas kemenangan di Famili Duo, rezeki anak saya datang bertalu-talu. Saya dan anak merakamkan lagu ini sekitar tiga minggu lalu. Awalnya rancang untuk rakamkan lagu komersial dan bukan lagu raya.

"Asalnya Adrian patut merakamkan dua lagu lama ciptaan Sharon sendiri yang dimedleykan, Gundah (Ernie Zakri) dan Sampai Bila (Misha Omar). Kemudian, Sharon kata puasa dan raya sudah dekat, jadi lebih baik tukar rancangan.

"Maka terhasil lagu raya duet antara saya dan Adrian. Cuma masa itu, tak tahu lagu ini akan dijadikan lagu kempen raya. Tak sangka karya ini akhirnya diangkat sebagai lagu tema kempen TV3 dan TV9," katanya.

Sementara itu, Adrian mengakui cabaran merakamkan lagu Salam Sayang bukan semudah disangka.

"Susah juga pengalaman merakamkan lagu ini. Ia perkara baharu dan takut buat salah. Tambah pula jiwa saya lebih kepada mainan vokal. Lagu ini pula lebih berentak tradisional. Tapi, saya berpeluang melakukan adlib melenggokkan lagu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:01 AM