AJAI bersama enam peserta yang layak ke pusingan berikutnya.
AJAI bersama enam peserta yang layak ke pusingan berikutnya.
Ridzuan Abdul Rahman


Lapan peserta kategori balada program realiti 3 Juara yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin sememangnya mempunyai kualiti tersendiri.

Eeza, Azumi, Hady, Salma, Faisal, Hafizah, Aqeem dan Appril masing-masing menampilkan kemantapan vokal serta penguasaan pentas yang baik.

Ini menyukarkan Ajai selaku penerbit untuk memilih enam yang terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun melihatkan kelemahan yang ada pada Faisal dan Hafizah, Ajai terpaksa menyingkirkan mereka daripada persaingan 3 Juara.

“Enam peserta ini dipilih berdasarkan 90 peratus kemampuan yang ada pada mereka. Ia dinilai menerusi kebolehan semula jadi kerana dalam 3 Juara, tiada pembelajaran yang diberikan.

“Saya hanya bimbing mereka dalam beberapa aspek tertentu dan selebihnya terserah kepada mereka untuk mewarnakan lagu yang dinyanyikan,” katanya yang ditemui selepas tamat persembahan.

Diakui program yang berlangsung selama dua jam 30 minit itu berjaya memukau penonton untuk terus mengikuti dari awal hingga akhir.

Pentas persaingan dibuka dengan persembahan Eeza menerusi lagu Rindu nyanyian asal Agnes Monica, diikuti Azumi (Sampai Mati- Hazama), Hady (Bukan Dia Tapi Aku- Kerispatih), Salma (Janji Manismu- Aishah), Faisal (Pelangi Petang- Sudirman), Hafizah (Dealova- Once), Aqeem (Bunga Terakhir- Afgan) dan Appril (Awan Yang Terpilu- Ning Baizura).

Salma yang juga bekas juara Mentor musim kelima mula menunjukkan taringnya apabila menampilkan persembahan hebat sehingga menerima tepukan bergemuruh penonton.

Ajai menyifatkan ia sesuatu yang positif dan mengharapkan agar peserta terus mengekalkan kehebatan untuk persaingan seterusnya.

“Inilah yang dinamakan ‘battle’ kerana jika tak buat yang terbaik mereka akan terkeluar. Setiap peserta perlu pandai improvisasi lagu ikut kreativiti sendiri.

“Selepas ini mereka akan diberi lagu pilihan penerbit dan di sinilah cabaran akan bermula apabila enam daripada mereka akan bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran juara.

“Bagi saya, persembahan Salma ada pro dan kontranya. Dia tak boleh terlalu selesa kerana ada lima lagi peserta yang mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya yang mahu peserta mempraktikkan ilmu yang diberikan apabila keluar nanti.

Buang perasaan yakin

Salma, 26, berkata, dia menyertai 3 Juara kerana melihat ia menjadi platform untuk memperkenalkan semula namanya kepada peminat.

“Pergi ke mana-mana pun orang bertanya kenapa saya menghilang sedangkan saya masih menyanyi di majlis tertentu.

“Saya bertanya kepada penerbit program ini dan mereka berikan kebenaran buat artis yang tiada lagu popular masuk bertanding, jadi peluang ini saya gunakan sebaik-baiknya.

“Apapun pertarungan akan berlangsung selama lima minggu dan saya tak boleh terlalu yakin. Saya kena buat persembahan ‘step by step’ agar momentum tak lari,” katanya yang mendapat sokongan suami dan keluarga.

Aqeem, 22, pula mengakui tidak menjangka akan terpilih ke peringkat seterusnya kerana melakukan sedikit kesilapan ketika menyanyi.

“Semua peserta sangat hebat. Namun, saya beruntung kerana dapat sedikit tip daripada Hazama yang tampil sebagai penyanyi undangan ketika di belakang pentas,” katanya yang meminati Anuar Zain.

Appril, 27, pula menggunakan pentas 3 Juara untuk menampilkan kebolehan nyanyian tersendiri tanpa dipengaruhi gaya penyanyi asal.

“Ajai ajar saya teknik penghayatan lagu dan saya berjaya memanfaatkannya dengan baik. Saya akan memperbaiki beberapa lagi kelemahan pada minggu seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Hafizah dan Faisal tidak kecewa tersingkir awal dalam 3 Juara.

“Ini satu pengalaman baru buat saya. Ia buatkan saya terus bersemangat untuk kejar cita-cita untuk menyanyi dan mungkin akan menyertai Mentor Millenia pula,” kata Hafizah.

“Saya puas hati dengan persembahan ditunjukkan. Selepas ini saya akan terbabit dengan promosi bergerak Anugerah Industri Muzik (AIM) bersama kumpulan saya iaitu Tuah Saja,” kata Faisal pula.

Program yang ditayangkan secara langsung di TV3 itu turut dimeriahkan dengan persembahan Ziana Zain dan Hazama sebagai artis jemputan.

Selain itu, Ummi Nazeera, Aeril Zafrel dan Izzue Islam turut tampil bagi mempromosikan drama Patahnya Sebelah Sayap yang sedang bersiaran menerusi slot Samarinda TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:36 AM