DJ Lin (berdiri dua dari kanan) bersama barisan penyampai radio dan pendengar
DJ Lin (berdiri dua dari kanan) bersama barisan penyampai radio dan pendengar

Kuala Lumpur: Kempen 'Suria Belanja Makan' mendapat sambutan meriah daripada pendengar dan diserikan dengan penampilan barisan penyampai radio antaranya Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Rara, Chiwan dan DJ Lin.

Dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena Jualan Agro Madani, Selangor Day di Pekarangan FAMA Point, Bandar Baru Selayang, pada Jumaat lalu.

Acara bermula seawal jam 7:30 pagi itu dirancakkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Hijjaz, persembahan tarian tradisional, sesi soal jawab mudah bersama Suria Wheels dan barisan penyampai di mana peminat berpeluang membawa pulang barang eksklusif Suria seperti baju Suria, lanyard, beg 'tote', dan beberapa set kombo Agro Madani secara percuma.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), mengucapkan ribuan terima kasih kepada FAMA selaku penaja lokasi atas kerjasama baik dan pendengar yang sudi hadir pada program ini.

"Suria FM kini kembali turun padang temui peminat dengan salah satunya menerusi program ini. Syukur segalanya berjalan dengan lancar, terima kasih kepada yang terbabit bagi program kali ini dan semoga kerjasama baik Suria dan FAMA seperti ini dapat diteruskan di masa mendatang," katanya.

Sementara itu, berita baik buat semua pendengar, jangan lepaskan peluang rebut RM36,000 dengan sertai kempen Suria Kongsi Rezeki yang berlangsung hingga Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 11:32 AM