ANNA Aljuffrey
ANNA Aljuffrey
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara Anna Aljuffrey bakal memulakan tugas sebagai penyampai radio hujung minggu di Suria FM bermula Sabtu ini.

Anna berkata, selepas kontrak bersama stesen radio THR Gegar tamat pada Ogos tahun lalu, dia seakan tidak percaya apabila Suria FM mempercayai bakat dan kebolehan yang dimiliki.

"Sebagai pendengar setia Suria FM terutama segmen Suria Cinta, saya memang sudah lama memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM.

"Ketika tawaran ini datang, saya tidak menunggu masa yang lama untuk menyatakan persetujuan kerana ia adalah peluang terbaik untuk saya berkembang dan menaikkan lagi jenama stesen radio Suria FM.  

"Lagipun saya memang seorang pendengar setia Suria Cinta yang dikendalikan DJ Lin. Saya amat meminati gaya dan cara penyampaiannya. Dia adalah idola saya dalam dunia penyiaran radio," katanya.

Menurut Anna, sebagai permulaan di Suria FM dia bakal mengendalikan segmen baharu Suria Pagi Show bersama Anna J.

"Bermula 19 Mac ini, saya akan ke udara setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 6 hingga 10 pagi.

"Saya akan berusaha memenangi hati peminat setia Suria FM dan menarik minat lebih ramai pendengar muda dengan pengisian yang lebih segar dan terkini dengan menggunakan pendekatan media sosial dan segmen yang santai agar pendengar akan merasa lebih dekat dengan  saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Program Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, pihak Suria FM merasakan sudah tiba masanya untuk menambah barisan penyampai sedia ada dalam usaha memperkukuhkan lagi jenama Suria FM.

"Selain menawarkan kandungan siaran yang lebih bervariasi, kali ini kami akan turut memberi tumpuan kepada segmen di hujung minggu dalam menambat hati pendengar sedia ada juga pendengar baru termasuk pihak penaja.

"Pemilihan Anna J amat bersesuaian dengan misi Suria tahun ini. Berbekalkan pengalamannya disamping gaya penampilan yang tersendiri, kehadiran Anna J dilihat mampu melengkapkan percaturan strategi Suria FM dalam bersaing secara proaktif dan agresif.

"Segmen Suria Pagi Show Bersama Anna J yang akan ke udara tentunya bakal menceriakan hujung minggu pendengar dengan kandungan yang lebih segar, informatif dan interaktif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:58 PM