Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA pernah terfikir nak balik Malaysia selepas kerajaan (Indonesia) isytihar darurat Isnin lalu yang mana ketika itu indeks pencemaran udara (IPU) sudah mencecah 774,” kata Alya Najeeba Mohd Zamri, 20.

Alya bersama 46 yang lain adalah kumpulan pertama pelajar Malaysia di Wilayah Riau dan Jambi, Indonesia yang tiba di tanah air jam 12.50 tengah hari tadi.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) disambut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Marzuki Yahya.

Secara keseluruhan, seramai 160 pelajar Malaysia di Riau dan Jambi dibawa pulang ke tanah air hari ini dan esok.

Alya berkata, dia menangguhkan hasrat untuk pulang selepas mendapat berita bahawa kerajaan Malaysia ingin membawa pulang semua pelajar ke tanah air beberapa hari lalu.

“Sebelum itu, ibu bapa saya ada melawat saya di sana pada 21 dan 22 September lalu dan mereka mahu saya pulang bersama ke Malaysia susulan jerebu teruk.

“Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan pulang kecuali kerajaan Indonesia isytihar darurat. Sehari selepas itu, Riau diisytihar darurat dan kelas pengajian ditangguhkan sementara,” katanya yang kini di tahun kedua pengajian tafsir al-Quran, Fakulti Usuluddin, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim.

Katanya, pihak universiti memberi cuti sehingga 30 September ini susulan darurat itu.

Sementara itu, pelajar tahun akhir Pengajian Tafsir Hadis universiti yang sama, Ahmad Nasruddin Ahmad Ridzuan berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Antarabangsa Pelajar Malaysia di Indonesia kerana terbabit dalam proses evakuasi ini.

“Ketika ini, kami berada di awal pengajian semester baru dan ia tidak menjejaskan pengajian secara keseluruhannya.

“Alhamdulillah, semua pelajar tidak mengalami kesan yang teruk akibat jerebu sebaliknya hanya batuk,” katanya.

Katanya, jerebu yang berlaku tahun ini tidak seteruk yang terjadi pada 2015 yang mana ketika itu, pelajar Malaysia terpaksa dibawa pulang air dengan Pesawat Charlie C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas IPU mencecah tahap kritikal iaitu hampir 1,000.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, kumpulan kedua pelajar Malaysia seramai 31 orang dijangka tiba pada jam 6.10 petang hari ini dan selebihnya pada esok.

Wisma Putra berkata, kementerian dan agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 orang pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta.

Pemindahan pelajar itu dibantu oleh perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil agensi di kedua-dua perwakilan itu.

Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Provinsi Riau.

Kerajaan Malaysia membuat keputusan melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 3:26 PM
PELAJAR Malaysia yang menuntut di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Pekanbaru Riau, Indonesia tiba di klia2. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PELAJAR Malaysia yang menuntut di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Pekanbaru Riau, Indonesia tiba di klia2. FOTO Mohd Fadli Hamzah