PERJANJIAN dengan jin dan iblis yang membawa kehancuran.
PERJANJIAN dengan jin dan iblis yang membawa kehancuran.
Najiy Jefri

Arus pemodenan yang kian rancak dilihat mampu mempengaruhi ketamadunan sesebuah negara khususnya dari segi intelektual.

Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih di takuk lama iaitu mempercayai perkara tahyul atau khurafat bagi mendapatkan cinta dan kekayaan.

Walaupun perkembangan ilmu agama turut diberikan penekanan sama seperti ilmu duniawi, tidak dinafikan amalan itu masih mempunyai pengikut dan diamalkan sehingga kini.

Itulah antara inti pati diterjemahkan dalam telefilem Hamba Iblis yang akan ditayangkan pada 31 Mac ini, jam 9 malam di Astro Citra saluran 131 dan Mustika HD saluran 134.

Menjanjikan pengalaman menonton telefilem seram yang lari daripada kebanyakan konsep kepercayaan mengarut seperti sihir dan ilmu hitam menjadikan naskhah arahan Razaisyam Rashid itu mempunyai keunikan tersendiri.

Hamba Iblis dibintangi barisan pelakon popular seperti Ameerul Affendi, Nam Ron, Siti Saleha dan Ken Ridzuan.

NAMRON (kiri) bersama Siti Saleha ketika penggambaran telefilem ini.
NAMRON (kiri) bersama Siti Saleha ketika penggambaran telefilem ini.

Menurut Razaisyam, walaupun genre seram itu adalah pengalaman pertama dalam pengarahan, dia teruja sepanjang menyiapkan telefilem terbabit kerana mempunyai barisan pelakon yang hebat.

“Alhamdulillah, saya mendapat sokongan padu daripada semua pelakon yang bertungkus-lumus membantu mencantikkan telefilem ini.

“Walaupun genre seram adalah percubaan pertama saya, segala proses berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Menurut Razaisyam, cabaran utama menyiapkan telefilem itu adalah dari sudut visual supaya penonton dapat merasai setiap momen seram.

“Setiap pelakon mempunyai karakter dan pengalaman yang tersendiri. Jadi cabaran utama saya adalah dari sudut visual untuk jadikan naskhah ini kelihatan seram dan menakutkan.

“Mujur saya mempunyai tenaga produksi yang mempunyai pengalaman luas dalam menghasilkan genre seram membuatkan saya tidak ‘pening’,” katanya.

RAZAISYAM pertama kali arah telefilem seram.
RAZAISYAM pertama kali arah telefilem seram.

Naskhah seram yang diangkat turut tidak terlepas untuk mendidik dan mengajar audiens apabila ia sarat dengan mesej positif.

“Motif utama saya cuba ketengahkan adalah setiap manusia mempunyai masa lampau mereka dan ia akan berpatah balik kepada kita kelak. Cuma masa saja yang akan menentukan.

“Jadi jauhilah daripada perkara yang mungkar kerana ia akan memakan diri sekiranya tidak berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Hamba Ibilis mengisahkan Tahir yang sanggup membuat apa saja demi mendapatkan Aishah.

Dengan bantuan kawan baiknya, Malik, Tahir mendapatkan khidmat bomoh. Selepas menunaikan permintaan bomoh supaya setiap malam bulan mengambang, jin yang digunakan untuk mendapatkan Aishah perlu dijamu dengan darah haid, akhirnya hasrat Tahir tercapai.

Hampir setahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak, Anis, Tahir sekali lagi mendapatkan khidmat bomoh untuk hidup mewah bagi membahagiakan Aishah dan mengambil hati arwah bapa mentuanya.

SITI Saleha bawa watak Aishah yang menjadi idaman Tahir.
SITI Saleha bawa watak Aishah yang menjadi idaman Tahir.

Namun kali ini syarat yang ditetapkan amat ketat. Jika Tahir gagal ‘menjamu’ jin peliharaannya dengan darah manusia yang mati dibunuh, sama ada Aishah akan jadi milik jin peliharaannya sampai bila-bila ataupun nyawa anak kesayanganya menjadi taruhan.

Dalam pada itu, Ameerul yang membawa watak Tahir berkata, dia teruja kerana pertama kali membawa watak utama dalam naskhah bergenre seram.

“Saya seronok sepanjang sesi penggambaran dijalankan kerana digandingkan dengan pelakon hebat.

“Jujur saya tidak pernah alami perkara ilmu hitam ini, tapi banyak mendengar cerita kawan membuatkan saya cuba menyelami karakter ini. Lagipun, Razaisyam memberi saya kebebasan untuk melakukan kelainan dalam telefilem ini,” katanya.

Ameerul berkata, dia turut mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran kerana banyak babak aksi yang dilakukan.

“Banyak babak aksi terjun yang perlu dilakukan hingga badan saya mengalami sakit urat dan cedera ringan. Namun itulah kepuasan bagi setiap pelakon apabila berjaya melakukan sesuatu karakter itu,” katanya.

NAMRON dalam satu adegan teleflem Hamba Iblis.
NAMRON dalam satu adegan teleflem Hamba Iblis.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Citra Amal Ziaq Nawawi berkata, pihaknya sentiasa berusaha menawarkan kepelbagaian genre dan jalan cerita yang mencabar bagi mendapatkan kepuasan maksimum.

“Setiap naskhah yang kami bawakan banyak menjurus kepada naskhah seram. Malah kami sentiasa berusaha membawakan genre yang stesen televisyen lain tidak lakukan memandangkan kami adalah platform bagi saluran premium.

“Elemen dalam telefilem ini memaparkan visual dan jalan cerita yang unik apabila keseluruhan naskhah ini seperti sebuah filem kerana menggunakan tenaga produksi yang biasa dengan penggambaran filem,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 3:24 AM