Sharifah Shahirah
Sharifah Shahirah
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah, 50, berasa ralat tidak dapat bertemu dan keluar makan bersama Allahyarham Khairil Anwar ZM Rashidi, 72, yang juga suami seniwati Allahyarham Azean Irdawaty sebagaimana pernah dirancangnya.

Sharifah Shahirah atau Shiera dihubungi berkata, arwah Khairil Anwar yang dipanggil abang Karl itu adalah pendengar setia Suria FM dan sering berhubung dengannya di Suria Petang untuk berkongsi pandangan pada topik dibincangkan.

"Arwah abang Karl memang rajin telefon dan juga hantar mesej untuk bertanya khabar dan kongsi pendapatnya berkaitan topik dibincangkan ketika itu. Dia (arwah) orangnya sangat baik dan tak pernah menagih simpati bercerita kesusahannya.

"Walaupun kurang sihat dan saya difahamkan arwah mengalami strok, tapi dia memang akan selalu hubungi Suria Petang serta mengirim mesej. Jadi, pernahlah saya kata padanya, abang Karl nanti kita rancang keluar makan sama-sama.

"Tapi, saya rasa ralat kerana hasrat nak bertemu dan keluar makan dengan arwah tidak kesampaian. Hanya mampu rancang macam itu saja dan Allah berkehendak begini. Semoga roh arwah dicucuri rahmat," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kali terakhir arwah Khairil Anwar menghubungi Suria FM, Shiera berkata, seingatnya ketika Shuib menamatkan perkhidmatan dengan stesen radio itu pada 4 Disember tahun lalu.

"Abang Karl ada hantar ucapan kata-kata semangat untuk Shuib. Lepas itu dia terus menyepi dan saya sedar serta tertanya juga kenapa dia sudah lama tak hubungi Suria FM, tapi tak terfikir yang arwah sakit dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

"Apapun, saya berterima kasih kepada dua anaknya yang sudi hubungi saya menerusi nombor telefon arwah untuk berkongsi berita sedih berkaitan pemergian abang Karl buat selamanya pada malam Ahad lalu," katanya mengakui sudah lama mengenali Allahyarham.

Terdahulu, arwah Khairil Anwar disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor, jam 5.12 petang, Ahad lalu dan pemberitahuan dibuat anak bongsunya, Ineesa Irdayanty di Instagram Story.

Semalam, jenazah Khairil Anwar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 1:09 PM