Aman Graseka
Aman Graseka

Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah, 50, memaklumkan menerima mesej daripada isteri pelakon Aman Graseka iaitu Nurul Amrina Zamri, pada pagi semalam memberitahu keadaan anak mereka yang dimasukkan ke hospital dan ditidurkan oleh doktor yang merawatnya. 

Menurutnya, mesej diterima awal pagi sekitar selepas waktu Subuh dan mahu menunjukkan video sebagai bukti.

Shahirah atau Shiera bagaimanapun tidak bertanya lanjut berkenaan keadaan terkini anak pasangan terbabit. 

Dia sebaliknya hanya berkongsi berita berkenaan semasa bersiaran di segmen Suria Petang dan meminta pendengar mendoakan kesihatan anak pasangan itu. 

Shiera bimbang sekiranya isteri Aman sengaja mereka cerita untuk menarik perhatian sedangkan perkara ini tidak benar. 

Malah dia juga mempertikaikan tindakan isteri Aman mahu menghantar video sebagai bukti sedangkan dia sepatutnya menghubungi orang terdekat untuk meminta bantuan. 

Dia juga memanfaatkan tugasnya sebagai penyampai radio dengan meminta agensi berkaitan seperti Lembaga Zakat untuk menjenguk keluarga ini kerana dirinya sudah tiada kudrat untuk membantu. 

Sementara itu seorang kakitangan sebuah yayasan berkaitan artis turut menghubungi Harian Metro menyampaikan berita serupa pada tengahari semalam. 

Menurutnya, dia dihubungi oleh seorang penggiat industri menerusi WhatsApp memaklumkan perkara ini. 

"Menurutnya, anak Aman dibawa ke hospital menaiki ambulans dan pasangan terbabit tiada duit dalam tangan. Mereka duduk di kaki lima menunggu anak yang masih dirawat. 

"Bagi mengesahkan perkara ini, isteri Aman meminta mana-mana pihak agar membuat panggilan video atau membuat semakan nama anaknya dengan pihak hospital," katanya.

Menurut kakitangan ini lagi, agak menghairankan apabila penggiat industri terbabit meminta dia memberikan nombor ketuanya atas alasan diminta oleh isteri Aman sedangkan Nurul Amrina sebelumnya mempunyai nombor itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 7:18 PM