Gambar mini ‘reunion’ dikongsikan Gwen Stefani
Gambar mini ‘reunion’ dikongsikan Gwen Stefani
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Gwen Stefani bakal mengembalikan memori bersama kumpulan muzik yang pernah dianggotainya, No Doubt, dengan mengadakan persembahan 'reunion' di acara Coachella 2024.

No Doubt menerusi akaun Instagram rasmi mereka memuat naik hantaran poster acara yang akan berlangsung pada April itu di samping keterangan ringkas yang membuatkan peminat mereka teruja.

"Jumpa anda di padang pasir pada April ini!" tulis keterangannya di akaun Instagram.

Stefani, 54, turut berkongsi berita itu dan mempromosikan acara itu di Instagram Story.

Beberapa jam sebelum penganjur Coachella mengumumkan mengenai kehadiran acara itu untuk tahun ini serta senarai artis yang terbabit, Stefani merakamkan video bersama anggota No Doubt, Tony Kanal, 53, Adrian Young, 54 dan Tom Dumont, 56 untuk media sosial.

Tidak sekadar merakamkan video perbualan, mereka juga turut merakamkan video 'teaser' mengenai 'reunion' itu yang membuatkan lebih ramai peminat mereka bertambah teruja.

"Saya nak buat persembahan! Kamu semua nak buat persembahan tak?!" tanya Stefani kepada rakan-rakannya yang lain.

Video itu ditutup dengan tanda soal besar sekali gus menuai pelbagai komen dan reaksi daripada peminat mereka di platform media sosial itu.

No Doubt ditubuhkan pada 1986 dan meraih populariti sekitar tahun 1990-an menerusi lagu-lagu popular mereka antaranya, Don't Speak, Hey Baby, Sunday Morning, Hella Good, Just a Girl dan banyak lagi.

Kali terakhir No Doubt turun padang adalah ketika menyempurnakan siri jelajah Seven Night Stand mereka pada 2012 sebelum menyepi.

Selain Stefani dan No Doubt, barisan pemuzik lain yang akan turut tampil membuat persembahan adalah Lana Del Rey, Tyler, The Creator dan Doja Cat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 10:54 AM