LOGO Google di satu pameran perdagangan di Nevada, Amerika Syarikat. FOTO Reuters
LOGO Google di satu pameran perdagangan di Nevada, Amerika Syarikat. FOTO Reuters
AFP

Washington: Google memecat 28 pekerja berikutan protes terhadap kontrak gergasi teknologi itu untuk menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) kepada kerajaan Israel.

Pemberhentian itu berlaku selepas kumpulan No Tech for Apartheid pada Selasa membuat demonstrasi di pejabat Google di California dan New York, untuk membantah kontrak AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.74 bilion) yang dikenali sebagai Project Nimbus.

Video demonstrasi yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis menahan pekerja di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud, Thomas Kurian.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Google berkata, menghalang pekerja secara fizikal dan menghalang mereka daripada mengakses kemudahan syarikat adalah pelanggaran yang jelas terhadap dasar dan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Selepas menolak beberapa permintaan untuk meninggalkan premis itu, penguat kuasa undang-undang diambil untuk mengeluarkan mereka bagi memastikan keselamatan pejabat.

"Kami setakat ini sudah menyimpulkan siasatan individu yang mengakibatkan pemberhentian 28 pekerja, dan akan terus menyiasat serta mengambil tindakan mengikut keperluan," kata seorang jurucakap.

Google juga menafikan bahawa kontrak itu berkaitan dengan senjata atau perkhidmatan perisikan.

Dalam catatan blog, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai mengeluarkan amaran kepada pekerja yang membantah.

"Kami mempunyai budaya perbincangan yang rancak dan terbuka yang membolehkan kami mencipta produk yang menakjubkan dan mengubah idea hebat menjadi tindakan. Itu penting untuk dipelihara. Tetapi akhirnya kami adalah tempat kerja dan dasar serta jangkaan kami adalah jelas.

"Ini adalah perniagaan, dan bukan tempat untuk bertindak dengan cara yang mengganggu rakan sekerja atau membuatkan mereka berasa tidak selamat, untuk cuba menggunakan syarikat sebagai platform peribadi, atau untuk bergaduh atas isu yang mengganggu atau perdebatan politik.

"Ini adalah saat yang terlalu penting sebagai sebuah syarikat untuk kami terganggu," kata Pichai.

No Tech for Apartheid menuduh Google melakukan tindakan balas dan berkata, mereka yang dipecat termasuk kakitangan yang tidak mengambil bahagian secara langsung dalam protes.

"Tindakan balas dendam yang terang-terangan ini adalah petunjuk yang jelas bahawa Google menghargai kontrak AS$1.2 bilion dengan kerajaan dan tentera Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai lebih daripada pekerjanya sendiri.

"Dalam tempoh tiga tahun kami menganjurkan Projek Nimbus, kami masih belum mendengar daripada seorang eksekutif mengenai kebimbangan kami," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan.

No Tech For Apartheid juga menyifatkan dakwaan bahawa penunjuk perasaan merosakkan harta benda dan secara fizikal menghalang kerja pekerja lain sebagai pembohongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:10 AM