KUMPULAN al-Maqari menerima hadiah kemenangan sejurus diumumkan sebagai juara , program realiti Pentas Marhaban.
KUMPULAN al-Maqari menerima hadiah kemenangan sejurus diumumkan sebagai juara , program realiti Pentas Marhaban.
Najiy Jefri


Selepas lapan minggu bersiaran secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, program realiti Pentas Marhaban secara rasminya melabuhkan tirai Sabtu lalu.

Lebih mengujakan, kumpulan Al-Maqari yang dianggotai tujuh anggota dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi sumbangan TV AlHijrah.

Keputusan itu turut menafikan kedudukan pesaing terdekatnya Al-Muhtadin, Qalbun Hadi dan Raudhatul Ashwaq untuk bergelar juara.

Menurut ketua kumpulan Al Maqari, Ahmad Ibrahim Azam, kemenangan yang diraih adalah hadiah paling bermakna buat setiap ahli kumpulan.

"Alhamdulillah kami semua tak sangka dengan kemenangan ini Setiap kumpulan mempamerkan persembahan yang terbaik selain mempunyai pengalaman yang cukup lama dalam Marhaban.

"Inilah yang dinamakan rezeki. Kami bersyukur dan akan manfaatkan hadiah kemenangan ini dengan menghasilkan karya yang lebih baik pada masa mendatang," katanya.

Menurut Ibrahim, dia tidak melihat kemenangan Al Maqari mempunyai kaitan dengan salah seorang pengacara program itu iaitu Tilmiz Fahmi yang juga anggota kumpulan itu.

Katanya, sekiranya perkara itu mengundang kontroversi atau bercanggah dengan syarat pertandingan, pihak produksi terlebih dulu akan memaklumkan kepada mereka.

"Kami lalui proses uji bakat sama seperti kumpulan lain. Kalau kami tak boleh sertai, sudah tentu pihak produksi akan beritahu lebih awal.

"Jadi tak adil untuk katakan kami tidak layak bertanding untuk program ini kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri," katanya.

Ibrahim berkata, biarpun Fahmi bertindak sebagai hos pertandingan itu, namun mereka bersikap profesional dan tidak mencampuri urusan Fahmi.

"Sepanjang program ini berlangsung kami sangat profesional. Hubungan kami dalam program ini lebih sebagai pengacara dan peserta.

"Fahmi sangat profesional dan telus. Lagipun Fahmi juga tiada akses dalam mengetahui kandungan atau gimik yang pihak produksi sudah tetapkan," katanya.

Selain Al Maqari pertandingan akhir Pentas Marhaban turut menyaksikan Kumpulan Qalbun Hadi diumumkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM25,000 berserta trofi.

Sementara itu, kumpulan Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq sekadar meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM10,000.

Program itu diadili sepenuhnya oleh juri tetap Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus serta Ustaz Hasim Harun selaku juri jemputan.

Pemarkahan diberikan berdasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo dan harmoni.

Pentas Marhaban akhir turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Rabbani dan Daqmie.

Selain dihoskan gandingan pengacara, Tilmiz Fahmi dan Syamsul Ghau Ghau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 6:30 AM