Kumpulan Intracksee
Kumpulan Intracksee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kehangatan program realiti Pentas Marhaban semakin mula dirasai penonton apabila rata-rata memberikan maklum balas positif.

Menerusi siaran langsung di TV AlHijrah minggu kedua yang berlangsung Sabtu lalu, kumpulan yang diwakili generasi muda dikenali Intracksee berjaya mara ke peringkat separuh akhir sekali gus menewaskan kumpulan otai iaitu Al-Muhtadin.

Kejayaan Intracksee sebagai pemenang minggu kedua turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500.

Juri tetap program, Ustazah Asni Mansor berkata, kesemua juri bersepakat memilih Intracksee kerana mereka berjaya mengangkat dan menginovasikan marhaban sekali gus diterima oleh golongan muda.

Program realiti disiarkan selama lapan minggu itu turut diadili Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus bersama seorang lagi juri jemputan.

Hadiah bernilai RM50,000 menanti juara manakala pemenang tempat kedua berpeluang membawa pulang RM25,000.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Kandungan dan Perolehan TV AlHijrah, Nurjannah Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima maklum balas yang positif dan luar biasa daripada penonton terutama melalui siaran langsung di Facebook.

"Kami mahu mengangkat martabat dan kesenian Islam seperti berzanji, marhaban, Rawi dan Qasidah serta menarik minat anak muda dalam menghargai keindahan amalan tradisi masyarakat Melayu ini.

"Dalam pertandingan ini kita dapat juga lihat kumpulan Intracksee dengan inovasi yang ditampilkan serta kehebatan kumpulan Al-Muhtadin yang mengekalkan keaslian marhaban," katanya.

Tambah Jannah, Pentas Marhaban turut mendapat perhatian daripada generasi muda yang mula menunjukkan minat dan mengetahui kesenian Islam itu.

"Ramai yang skeptikal dengan marhaban kerana dikatakan sinonim dengan golongan berusia. Namun sekarang ini boleh nampak marhaban turut diminati golongan muda .

"Tujuan kami menerbitkan program ini kerana kami mahu komersialkan marhaban di TV. Jika penonton boleh menerima trend novel ke drama, jadi tiada salahnya kami perkenalkan marhaban yang selalunya diadakan di lapangan tapi kini boleh mendapat capaian yang lebih luas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 4:50 PM