(Dari kiri) Ebby Saiful, Tukiman dan Maria ketika menziarahi Isma di Hospital Ampang. FOTO/NSTP Samadi Ahmad.
(Dari kiri) Ebby Saiful, Tukiman dan Maria ketika menziarahi Isma di Hospital Ampang. FOTO/NSTP Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Kuala Lumpur: Artis versatil era 1980-an, Isma Aliff, 59, yang diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital Jumaat lalu, mempertimbangkan ikhtiar alternatif bagi merawat penyakit berkenaan.

Ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, sosok yang dikurniakan bakat menyanyi dan berlakon, termasuk aksi komedi ini, memberitahu dia bercadang menjalani perubatan tradisional melalui proses urutan bagi merawat penyakit berkenaan.

Isma pernah membintangi beberapa filem, antaranya Marah-Marah Sayang, Jaket Biru, Sayang Ibu dan banyak lagi. Dia sedang menguruskan ibunya yang terlantar di rumah ketika terkena serangan strok.

"Saya bercadang menjalani perubatan tradisional melalui proses urutan bagi merawat angin ahmar selepas dibenarkan keluar hospital seperti dicadangkan rakan-rakan," katanya.

Isma atau pemilik nama sebenar, Mohd Latiff Ismail ini yang dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi dan angin ahmar ringan sebelum terpaksa ditidurkan kerana jangkitan pada jantung serta paru-paru, kini sudah dipindahkan ke wad biasa dan boleh berinteraksi dengan pelawat.

"Saya bersyukur kerana hanya diserang angin ahmar ringan, tapi masih bergantung kepada bantuan alat pernafasan. Sudah boleh berinteraksi, cuma masih berasa kebas pada tangan kiri," katanya.

Sebelum ditidurkan, Isma sempat menghubungi rakan baik yang juga artis seangkatan, Ebby Saiful Ali bagi memaklumkan keadaannya.

Dia terharu atas keprihatinan Ebby Saiful yang setiap hari meluangkan masa menziarahi dan menemaninya di hospital, termasuk memberi kata-kata semangat serta nasihat menjaga kesihatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tukiman Radion yang melakukan lawatan dan memberi sumbangan kepada Isma semalam berkata, persatuan prihatin dengan nasib artis veteran dan berusaha menjaga kebajikan mereka.

"Persatuan tidak meminggirkan rakan seperjuangan seperti Allahyarham Ibnor Riza yang meninggal dunia, Ahad lalu. Kami hadir pada hari pengebumian Allahyarham Ibnor di Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan," katanya.

Tukiman meminta artis veteran yang belum menyertai PKAVM agar berbuat demikian.

Turut serta Bendahari PKAVM, Maria Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 11:51 AM