GIRING ingin hasilkan muzik segar, hadir ke Kuala Lumpur bagi menyokong  pencapaian D’Masiv. FOTO Hazreen Mohammad
GIRING ingin hasilkan muzik segar, hadir ke Kuala Lumpur bagi menyokong pencapaian D’Masiv. FOTO Hazreen Mohammad
Zaara Talita


WALAUPUN mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang nyanyian bagi memberikan fokus terhadap bidang politik, bekas penyanyi Nidji iaitu Giring Ganesha mengakui dia rindu untuk menghasilkan muzik.

Selepas membawa haluan berbeza, Giring mengakui hubungannya dengan beberapa anggota Nidji dari Indonesia itu masih belum pulih seperti biasa.

Berharap fasa dingin ini akan berlalu dan mematangkan kedua-dua pihak, Giring berhasrat menghasilkan muzik segar dan baru khas buat peminat mereka.

"Ada yang baik dan ada yang masih belum baik sepenuhnya. Cuma saya berharap satu hari nanti saya dan anggota Nidji dapat mencapai satu tahap kematangan dalam hidup dengan tujuan yang sama iaitu menghasilkan muzik.

"Jika ditanya apa yang saya rindukan, pastinya untuk menghasilkan muzik baru dan segar. Sejujurnya, saya rindu untuk menghasilkan lagu baru bersama Nidji dan yang kedua adalah untuk membuat persembahan di pentas yang besar.

"Cuma buat masa ini, saya hanya menerima tawaran asalkan dapat melepaskan rindu kepada bidang nyanyian. Boleh dikatakan hampir lapan tahun juga saya tidak membuat persembahan di pentas profesional," katanya.

Ditanya sama ada bidang politik atau bidang nyanyian lebih memberikan kepuasan dalam kehidupan, Giring mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan.

Bagi penyanyi kelahiran Jakarta itu, kedua-dua cabang itu memberikan erti dan makna tersendiri.

"Bagi saya, bidang politik merangkumi tugas untuk berkhidmat buat masyarakat waktu kerjanya adalah 24 jam. Anda perlu melihat media sosial, sentiasa memeriksa dan membiarkan WhatsApp saya terbuka kepada umum.

"Sekiranya ada yang mengadu atau menyuarakan masalah, pastinya saya perlu memberikan maklum balas dan terus menanyakan kepada pasukan saya untuk menghulurkan bantuan.

"Perkara sebegitu yang membuatkan saya gembira dan kepuasan kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat. Untuk berbakti kepada rakyat Indonesia. Berbeza pula dengan bidang hiburan, sebagai penyanyi kita ditugaskan untuk menghiburkan.

"Muzik adalah platform untuk memberi hiburan kepada orang ramai. Dengan cara menyanyi, melompat dan bergembira bersama," katanya.

Sementara itu, Giring yang sepatutnya menjadi artis jemputan Konsert D'Masiv Road To The World di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak muncul seperti dirancang atas sebab teknikal.

Berita itu diumumkan penyanyi D'Masiv, Rian sebelum menyampaikan lagu Hapus Aku nyanyian asal kumpulan Nidji.

Dalam masa sama, Giring memuat naik hantaran meluahkan perasaan sedih tidak dapat berkongsi pentas bersama D'Masiv.

Giring bagaimanapun akur dan tetap hadir bagi menyokong sahabatnya di pentas.

"Sudah tentu saya sangat sedih kerana pada minit terakhir sebelum konsert bermula, saya tidak dapat mengikuti D'Masiv bernyanyi. Namun, saya harus mentaati peraturan yang berlaku dan kembali ke tujuan asal iaitu hadir menyokong pencapaian luar biasa D'Masiv," katanya.

Sebelum ini, pelakon Nabila Huda selaku penganjur memaklumkan pihaknya menampilkan bekas penyanyi kumpulan popular Nidji, Giring untuk memeriahkan konsert D'Masiv pada malam kedua.

Manakala bagi konsert malam pertama pula membariskan Is Pusakata yang bakal berduet dengan D'Masiv menyampaikan lagu Ingin Lekas Memelukmu.

Kumpulan popular Indonesia itu 'diterbangkan' ke Kuala Lumpur bagi konsert ulang tahun ke-20 berjaya memikat hati peminat lagu 'galau' semasa di Zepp KL pada 2 dan 3 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:11 AM