Radhi OAG. Foto Hazreen Mohamad
Radhi OAG. Foto Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan OAG, Radhi, 46, kembali berdepan masalah katarak pada mata kirinya selepas mata kanannya selamat menjalani pembedahan pada 2020 lalu.

Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali berkata, dia sepatutnya dapat penajaan merawat kedua belah matanya ketika itu namun tangguhkan hasrat demi menjaga ibunya.

"Tahun 2020, mata saya dapat tajaan dan sebelah kanan sudah dirawat. Saya buat sebelah itu dulu kerana mata sudah mula tak nampak. Sebelah lagi saya biarkan dulu.

"Kemudian, ibu saya jatuh sakit dan saya putuskan untuk menjaganya. Kemudian saya terus endahkan sebelah kiri sampai akhirnya ia terjadi (katarak).

"Kontrak bersama penaja terbabit pun sudah tak sah sebab luput. Perjanjian itu setahun saja dan saya tak sempat nak buat pun yang sebelah ini," katanya.

Radhi tidak menafikan masalah terbabit serba-sedikit menjejaskan kehidupan hariannya. Namun, dia akan berusaha untuk dapatkan rawatan secepatnya.

"Memang menyusahkan. Kalau tutup mata sebelah baru boleh nampak jelas. Kalau tak, memang pandangan jadi kabur dan tak seimbang. Sudah lebih setahun masalah ini sejak konsert terakhir kami dulu.

"Tapi saya memang akan merawatnya, insya Allah. Saya cuba berunding dengan penaja terdahulu untuk meminda perjanjian sebelum ini," katanya.

Terdahulu pada 2020, Radhi pernah berkongsi dia berusaha mengumpul wang untuk kos pembedahan mata kanannya yang berdepan masalah penglihatan akibat katarak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:22 PM