RADHI memuat naik gambarnya bersama isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri di Instagram sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima. FOTO Instagram Radhi OAG
RADHI memuat naik gambarnya bersama isteri, Nur Shahira Ayu Zahiri di Instagram sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima. FOTO Instagram Radhi OAG
Ridzuan Abdul Rahman


TINDAKAN vokalis kumpulan OAG, Radhi memuat naik gambarnya bersama isteri di Instagram dengan ucapan selamat ulang tahun perkahwinan yang kelima menimbulkan pertanyaan ramai kerana mereka kini berdepan konflik rumah tangga.

Bagaimanapun apabila ditanya berkenaan status dimuatkan dengan tanda pagar #thankgodits5thanniversary, Radhi, 41, atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali meminta semua pihak mendoakan yang terbaik terhadap rumah tangganya.

“Insya-Allah, doakan yang terbaik kerana perkara ini belum masuk mahkamah lagi dan seeloknya diselesaikan di luar mahkamah.

“Apa yang saya buat ini sebagai cara untuk memujuk, nak kahwin semula dengan dia,” katanya dalam nada bergurau kepada Harian Metro.

Radhi sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila mengakui perkahwinannya dengan Nur Shahira Ayu Zahiri atau Ayu, 25, sedang berdepan masalah.

Dia juga mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak dua minggu lalu dan sedang mengambil tempoh bertenang untuk mengatasi masalah itu.

Sebelum itu, Ayu menerusi sebuah portal turut mengakui perkara sama dan membayangkan jodoh mereka mungkin hanya setakat ini.

Dia turut memberitahu mereka tidak tinggal bersama sejak 25 Mac lalu atas keputusan masing-masing kerana berlaku perselisihan faham.

“Apa yang berlaku sekarang adalah antara kami berdua. Kasihan anak kerana memendam perasaan sekarang.

“Buat sementara ini kami masih tinggal berasingan. Namun, kami masih berhubung seperti biasa. Senang cerita kami masing-masing merajuk antara satu sama lain.

“Sebenarnya kami perlu korbankan perasaan ini demi anak. Saya memang tak sampai hati tengok anak. Mereka tak pandai cakap tapi pandai tunjukkan sesuatu pada kita,” katanya.

Radhi berkata, dia kini dalam fasa memujuk isterinya dan meminta supaya peminat mendoakan yang terbaik serta menyokong apa dilakukannya.

“Kami pun belum pergi mahkamah dan kalau boleh memang saya tak nak pergi. Saya pasti kalau pergi pun mereka menasihatkan cara baik untuk selamatkan rumah tangga.

“Memang kami ada cadangan untuk pergi kaunseling. Untuk apa terburu-buru kerana kalau ada silap dan salah pun, itu perkara biasa dalam rumah tangga.

“Kita makhluk Allah dan ini adalah ujian-Nya. Kalau kita nak simpan rasa marah atau dendam, ia bermaksud kita tak bersyukur dengan ujian itu,” katanya.

Katanya, peningkatan usia mematangkan dirinya supaya tidak terburu-buru dalam setiap tindakan.

“Saya dulunya bercerai dengan bekas isteri pertama pada tahun kelima dan kini ujian datang lagi pada tahun kelima perkahwinan saya dengan Ayu.

“Dulu ujian pertama saya gagal kerana ikut perasaan dan nafsu. Ulang tahun perkahwinan kami ialah pada 4 April lalu.

“Semalam saya rancang nak bawa Ayu makan tapi dia tak sihat pula. Dia cuti dan saya malas nak ganggu. Lagipun perkara ini tak boleh didesak,” katanya.

Menurutnya, yang penting ialah kehendak dan kebajikan anak perlu diutamakan berbanding perasaan mereka.

“Kerana anak kami berbaik, korbankan perasaan. Sebenarnya perasaan sayang antara kami berdua masih ada.

“Cuma, biasalah sekarang tengah bergolak sekejap. Tapi kerana anak insya-Allah ada yang terbaik.

“Biasalah pada mereka yang tak nak tengok kami bahagia, saya doakan mereka diberi hidayah. Biasalah dalam industri ini sentiasa ada yang cucuk jarum,” katanya.

Radhi dan Ayu berkahwin pada 2014 serta dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Perkahwinan pertama Radhi dengan Nur Shazlin Sharif pada 2005 berakhir dengan perceraian pada 2010 dan mereka dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim, 14.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:09 PM