Penyanyi, Siti Nordiana. Foto Eizairi Shamsudin
Penyanyi, Siti Nordiana. Foto Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana, 39, yang dilaporkan mengalami 'hilang suara' baru-baru ini tetap bersiap sedia menghadapi persaingan separuh akhir program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung malam ini.

Nana dihubungi berkata, keadaan suaranya semakin okay serta lebih baik berbanding beberapa hari lalu dan dia juga sedaya-upaya berusaha membuat persediaan yang mantap untuk persembahannya nanti.

"Alhamdulillah, suara saya dah makin okay sedikit dan lebih baik rasanya berbanding sebelum ini. Malah, untuk persembahan pula saya dah 'prepare' (buat persediaan) semuanya, cuma tinggal pelaksanaan saja pada malam ini.

"Saya mohon didoakan agar dipermudahkan segalanya dan lancar, sebagaimana saya sudah berusaha dengan baik membuat persediaan walaupun berhadapan masalah 'hilang suara'," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Nana berkata, dia menganggap masalah kesihatan yang mengakibatkan 'hilang suara' dialami itu sebagai ujian daripada Allah dan menerima dengan hati terbuka serta positif.

"Siapa yang nak sakit sehingga hilang suara pada ketika saya sekarang dalam pertandingan ASGV dan 'semi final' pula. Tapi, semua ini atas kehendak Allah dan saya menerimanya dengan reda.

"Saya dapatkan rawatan daripada doktor dan diberikan ubat serta perlu berehat. Tapi, saya juga tetap membuat persediaan untuk menghadapi persaingan 'semi final' ini demi peminat yang tidak jemu memberi sokongan.

"Inilah tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan walaupun sakit, saya perlu profesional menanganinya dan tidak cepat berputus asa. Saya percaya, Allah perancang yang terbaik dan apapun, kena teruskan usaha juga," katanya.

Difahamkan Nana tidak dapat membuat latihan vokal dari Isnin sehingga Khamis lalu kerana 'hilang suara' serta mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan selama 11 hari sejak mengalami masalah itu pada minggu lalu.

Nana juga dilaporkan terpaksa memberi keterangan dan menjawab soalan peguam secara menaip di iPad ketika prosiding kes saman difailkannya terhadap 'lima sekawan' yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:37 PM