Siti Nordiana bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14. FOTO Instagram
Siti Nordiana bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya masih selesa begini (jadi ibu tunggal) dan sudah 13 tahun pun, Alhamdulillah. Syukur saya juga tetap bahagia dengan Rayyan sekarang."

Demikian kata penyanyi dan pelakon popular Siti Nordiana Alias atau Nana, 38, berhubung kisah jodohnya yang mungkin ditunggu-tunggu kebanyakan peminat.

Nana berkata, dia sedar selagi belum naik pelamin kali kedua, pasti akan terus ditanya dengan perihal jodoh itu. Baginya, ia sudah biasa dan tiada masalah untuk menjawabnya.

"Dah banyak kali jawab mengenai soalan jodoh ini, lali rasanya. Tapi, saya tak akan mengelak dan terus beri jawapan sama seperti yang sebelum ini. Cuma sekarang jodoh baru saya, mungkin belum sampai lagi.

"Saya pun tak pernah meletakkan sebarang sasaran bila nak tamatkan zaman 'ibu tunggal' ini. Malah, saya sama sekali tidak berasa trauma atau serik dengan kegagalan perkahwinan lalu.

"Anak saya, Rayyan pun tak halang jika nak berumah tangga. Tapi, sejujujurnya saya sendiri lebih selesa memberi fokus pada kerjaya seni. Ditambah lagi, kemunculan saya ini selepas mendapat peluang kedua," katanya kepada Harian Metro.

Nana yang aktif semula dalam kerjaya seninya pada 2015 lalu selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) berkata, kini dia mahu terus berusaha selagi diberi peluang berkarya.

Terdahulu, Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 2006 dan akhirnya bercerai sekitar 2009. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, 14.

Bagaimanapun, Nana yang kini popular dengan lagu Hatiku Milikmu, Angkara dan terbaharu, Amaran didapati turut tidak terlepas dikaitkan dengan gosip cinta termasuk bersama pengurusnya, Al Anas Osman.

Baru-baru ini juga, pelakon drama Dia Semanis Honey itu dikaitkan netizen dengan suami Allahyarham Siti Sarah, Shuib Sepahtu gara-gara tular video Nana menempah pakaian untuk persembahan di sebuah butik.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 1:36 PM