Nana mohon doakan terbaik untuk kehidupan.
Nana mohon doakan terbaik untuk kehidupan.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana, 39, memilih untuk memberi fokus kepada karier seninya dulu, termasuk memohon doa ramai agar diberikan kebaikan dalam kehidupan.

Nana berkata, dia tidak mahu memikirkan apa saja kemungkinan yang akan berlaku pada masa depan kerana yakin perancangan daripada Allah adalah terbaik dan biar takdir menentukan.

"Buat masa ini, macam yang pernah saya katakan hanya nak fokus pada kerjaya saja. Apa saja kemungkinan yang berlaku pada masa depan, saya tidak pasti dan mohon doakan yang terbaik untuk saya dalam kehidupan ini.

"Saya juga ucapkan berbanyak terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong dan ada bersama-sama di belakang saya selama ini. Terima kasih atas sokongan kalian semua," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Gurauan Berkasih dengan Allahyarham Achik Spin ini berkata, dia selesa melihat positif dan memikirkan ketenangan diri kerana itu lebih utama untuk kesihatan yang baik. 

Baru-baru ini, Nana membuat keputusan menyelesaikan secara baik kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan terhadap lima individu dengan bermaaf-maafan selepas perbicaraan berlanjutan selama dua tahun.

Individu terbabit saman berkenaan ialah penyanyi Syura Badron dan Lan Solo bersama isterinya, Nur Sheila Hassim, termasuk Pegawai Perhubungan Awam FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Difahamkan Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof, memberitahu bersedia bekerja secara profesional dengan Nana sekiranya masih berpeluang pada masa akan datang.

Perkara itu dikongsikan Lan kepada media pada sidang akhbar yang berlangsung di kediamannya di Puchong selepas kes saman itu diselesaikan sepenuhnya pada 5 Disember lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:58 PM