MARGARET pada majlis perasmian restoran dan bantuan sumbangan untuk artis veteran. FOTO Hazreen Mohamad
MARGARET pada majlis perasmian restoran dan bantuan sumbangan untuk artis veteran. FOTO Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri


Putrajaya: Pelakon veteran yang juga mualaf, Margaret Tan, 80, mendoakan rakan pelakon, Ardini Angeline Tan yang baru memeluk Islam dapat menjalani kehidupan sebagai wanita Muslim dengan lancar.

Margaret berkata, dia gembira mendengar berita Angeline sudah memeluk Islam, baru-baru ini.

"Sebagai anak seni, kita mungkin sudah terbiasa dengan perangai yang gila-gila. Saya doakan dia dapat ikut cara hidup Islam yang sebenar," katanya.

Margaret dan Angeline pernah berlakon bersama dalam salah satu episod sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Margaret memegang watak sebagai ibu kepada Lucy lakonan Angeline.

Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu dan berkahwin dengan pelakon dan pengarah popular, Sabri Yunus pada 14 Oktober lalu.

Sementara itu, Margaret mengakui dia kurang mendapat tawaran berlakon sebelum dia memeluk Islam pada Februari tahun lalu.

Namun, itu tidak menjadi masalah buatnya kerana dia berpegang dengan prinsip untuk tidak menanggalkan tudung.

"Mereka mahu saya lakonankan watak perempuan Cina. Mana ada perempuan Cina yang pakai tudung. Kalau watak mualaf, lainlah. Kalau watak ibu-ibu berbangsa Cina, memang tak kenalah," katanya.

Menurut Margaret, dia juga pernah bergurau dan mencadangkan agar skrip ditukar sedikit mengikut kesesuaian.

"Saya ada juga beri cadangan supaya mereka ubah skrip, jadikan watak saya sebagai mualaf, tetapi selepas itu senyap saja tanpa sebarang berita.

"Saya pun tak adalah bertanya lagi. Lagipun saya faham, takkanlah kita suka-suka nak tukar skrip orang. Saya anggap saja itu bukan rezeki saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:28 PM