DR Zulkifli membacakan doa ketika melawat Fauziah dan anak arwah Pitt Hanif. FOTO Instagram Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
DR Zulkifli membacakan doa ketika melawat Fauziah dan anak arwah Pitt Hanif. FOTO Instagram Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"JIKA Pitt masih ada, dia akan urutkan kaki ibu (Fauziah) setiap kali pulang ke rumah. Ibu amat rindukan Pitt, dia anak yang baik dan pembersih," kata pelakon ternama, Fauziah Nawi, 66, yang amat merindui anak sulungnya, Allahyarham Mohd Firdaus Mohammad Hanif atau Pitt Hanif, 43.

Fauziah berkata, dirinya begitu terkilan berikutan hampir dua bulan tidak bertemu Pitt sebelum dia lemas di Sungai Jelai, Kuala Lipis, Pahang pada 27 Oktober lalu.

"Kali terakhir kami berjumpa adalah ketika Aidiladha yang lalu. Pitt kalau jenguk ibu, dia mesti akan urutkan kaki.

"Pitt suka menyapu dan mengemaskan bilik. Arwah bukan saja anak yang baik tetapi pembersih dan teratur," katanya.

Menurut Fauziah, antara kenangan tidak dapat dilupakan adalah arwah sering memintanya mengirimkan pesanan suara ketika dia membacakan al-Quran.

"Arwah selalu memuji, suara mama sedap," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Fauziah berkata, dia kini dalam keadaan baik biarpun anak lelakinya itu sudah meninggal dunia.

Katanya, anak kedua, Siti Nor Fateha sering menemaninya malah menantu, Farah Ahmad dan cucunya akan bertandang ke rumah.

"Ibu tidak sunyi kerana setiap hari ahli Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) dan sahabat Pitt akan bertanya khabar. Sejak Pitt tak ada, rumah ibu didatangi ramai orang," katanya.

Menurutnya, dia juga diziarahi kenalan dari Brunei termasuk kehadiran kru produksi.

Dalam pada itu Fauziah menzahirkan kesyukuran dan terkejut apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menziarahinya di rumah di Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.

"Ibu tak sangka Mufti datang ke rumah, menyampaikan bantuan dan membacakan doa untuk arwah. Alhamdulillah, terima kasih Mufti," katanya.

Portal berita akhbar ini pada 26 Oktober lalu melaporkan pengarah filem Coast Guard, Pitt Hanif dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama rakan, Sham Mokhtar, 38 terbalik dan terbelah dua ketika memancing di Sungai Jelai.

Mayat pengarah filem itu ditemui sehari kemudian oleh anggota bomba yang menjalankan misi dan menyelamat pada jam 4.25 petang.

Berita berkaitan

Mufti Wilayah Persekutuan ziarah Fauziah Nawi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 4:34 PM